KUALA LUMPUR – SumiSaujana Group Bhd (SumiSaujana) mencatatkan prestasi memberangsangkan bagi suku ketiga tahun kewangan 2025 dengan lonjakan hasil sebanyak 18.1 peratus kepada RM43.6 juta berbanding RM36.9 juta pada suku sebelumnya.
Peningkatan hasil ini mencerminkan keupayaan operasi syarikat pengeluar bahan kimia khusus minyak dan gas itu untuk kekal mampan walaupun berdepan persekitaran pasaran yang mencabar.
Pertumbuhan positif dipacu terutamanya oleh penghantaran separa di bawah kontrak bercagar yang menyumbang RM19.8 juta kepada pendapatan kumpulan sepanjang suku berkenaan.
Malaysia kekal sebagai penyumbang utama dengan jualan mencecah RM22.3 juta, manakala Thailand dan Indonesia masing-masing mencatatkan RM7.4 juta dan RM5.2 juta.
Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SumiSaujana, Norazlam Norbi dalam satu kenyataan berkata suku ketiga menandakan satu lagi tempoh kemajuan operasi yang stabil, diperkukuh oleh pasaran teras yang konsisten menyokong trajektori pendapatan kumpulan.
Namun, kumpulan itu merekodkan margin keuntungan kasar sebanyak 20.2 peratus, susut daripada 35.7 peratus pada suku sebelumnya akibat campuran produk yang kurang menggalakkan serta pengukuhan nilai Ringgit Malaysia terhadap jualan dalam denominasi dolar Amerika Syarikat.
Penurunan margin menyebabkan keuntungan sebelum cukai PBT berada pada paras RM0.3 juta, tetapi PBT terlaras bagi tempoh sembilan bulan kekal sihat pada RM9.4 juta selepas mengambil kira pelarasan kerugian tukaran asing bersih dan perbelanjaan penyenaraian.
Dalam perkembangan lain, anak syarikat milik penuh kumpulan itu, Sumisaujana TCM Chemicals Sdn Bhd mencapai kejayaan strategik apabila menghasilkan kumpulan pengemulsi pertama di Amerika Syarikat melalui pengaturan pengeluaran tol, sekali gus mengukuhkan kedudukan syarikat di Amerika Utara.
Syarikat itu juga memperoleh pesanan pertama di Indonesia bagi pembekalan minyak asas penggerudian dan bahan kimia medan minyak berasaskan air, mengukuhkan lagi kedudukannya dalam aktiviti huluan serantau.
Bagi perancangan masa depan, SumiSaujana sedang memajukan pelan penggunaan dana tawaran awam permulaan IPO termasuk pemerolehan kemudahan baharu di Puncak Alam, pengembangan bahagian penyelidikan dan pembangunan serta pemasangan sistem fotovoltaik solar.
Dari segi prospek, kumpulan itu mengambil pendekatan optimis tetapi berhati-hati berikutan halangan makroekonomi global seperti ketidaktentuan tarif dan risiko geopolitik, namun aktiviti penggerudian di Asia dijangka kekal stabil.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001