VATICAN CITY – Paus Leo XIV hari ini menggesa pembebasan lebih 300 tebusan daripada sebuah sekolah Katolik dalam satu insiden penculikan besar-besaran di Nigeria.
“Saya menerima berita dukacita yang amat mendalam mengenai penculikan paderi serta pelajar di Nigeria dan Cameroon,” katanya berdasarkan laporan dikeluarkan AFP.
Persatuan Kristian Nigeria (CAN) semalam berkata, kumpulan bersenjata menculik lebih 300 pelajar dan guru dalam serangan ke atas dua sekolah di negara itu.
“Saya merayu dengan sepenuh hati supaya semua tebusan dibebaskan segera,” ujar Paus Leo sambil meluahkan kesedihan mendalam, khususnya terhadap ramai remaja lelaki dan perempuan yang diculik serta keluarga mereka yang sedang menanggung penderitaan.
“Marilah kita mendoakan saudara-saudari kita ini dan gereja serta sekolah sentiasa menjadi tempat yang selamat dan membawa harapan di mana saja,” katanya dalam acara Ibadah Kristian semalam.
Pada Isnin, kumpulan bersenjata menyerbu sebuah sekolah menengah di negeri Kebbi, menculik 25 pelajar perempuan. Serangan itu diikuti satu lagi serbuan awal pagi Jumaat di Sekolah Ko-Edukasi St Mary di Niger.
Kedua-dua operasi penculikan itu, serta satu serangan ke atas sebuah gereja itu mengorbankan dua orang dan menculik puluhan mangsa, berlaku ketika Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengancam tindakan ketenteraan berhubung apa yang didakwa sebagai penganiayaan terhadap penganut Kristian oleh kumpulan pelampau Muslim di Nigeria.
Nigeria masih dibayangi tragedi penculikan hampir 300 pelajar perempuan oleh pengganas Boko Haram di Chibok, negeri Borno di timur laut negara itu lebih sedekad lalu.
Sebahagian daripada mereka masih belum ditemui. – AFP
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001