KUALA LUMPUR, 23 Nov — Parti Bersatu memilih untuk mengekalkan Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen selepas pertemuan tertutup kepimpinan parti itu pada Selama malam.
Mesyuarat berlangsung di kediaman Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu diadakan bagi meredakan pergeseran dalaman melibatkan kumpulan dikaitkan dengan Datuk Seri Azmin Ali dan kumpulan menyokong Hamzah.
Sumber berkata, perbincangan turut menyentuh cadangan supaya Datuk Seri Radzi Jidin menggantikan Hamzah, namun cadangan tersebut tidak diterima.
Media semalam melaporkan, beberapa pemimpin Bersatu berpendapat mengekalkan Hamzah adalah langkah lebih stabil pada waktu parti sedang berdepan cabaran dalaman.
Pendekatan beliau yang dianggap lebih diplomatik dilihat mampu meredakan suasana tegang dalam blok pembangkang.
Sikap sederhana Hamzah turut terserlah ketika mewakili PN dalam sidang media berkaitan penolakan perjanjian perdagangan timbal balik Malaysia–Amerika Syarikat.
Laporan itu menyebut cara beliau menyampaikan bantahan secara tertib menunjukkan kebolehan untuk mengkritik tanpa menimbulkan ketegangan.
Ada media menggambarkan Hamzah sebagai tokoh berkebolehan mengurus perbezaan pandangan dan mencapai titik persetujuan iaitu kelebihan yang dilihat penting ketika PN bersiap menghadapi PRU16.
Walaupun reda sementara antara fraksi Bersatu dijangka tidak menjamin keamanan jangka panjang, Hamzah tetap dilihat sebagai aset politik kepada parti.
Seorang Wartawan Kanan sebuah portal berita, turut menilai Hamzah sebagai seorang yang memiliki naluri diplomasi dan kecenderungan membina konsensus, satu ciri yang semakin dihargai dalam politik Malaysia yang terpecah kepada banyak aliran.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
