MUNICH – Michael Olise menjadi wira Bayern Munich apabila meledak dua gol dan mencipta tiga umpanan dalam kemenangan bergaya 6-2 ke atas Freiburg, awal pagi tadi sekali gus melebarkan jurang pasukan itu kepada lapan mata di puncak Bundesliga.
Bayern bermula hambar apabila dibolosi awal menerusi gol Yuito Suzuki dan Johan Manzambi, kedua-duanya hasil situasi bola mati.
Namun, selepas itu, tuan rumah mengganas dengan Olise memainkan peranan utama – mencipta gol buat Lennart Karl, Dayot Upamecano dan Nicolas Jackson, selain menjaringkan dua gol peribadi.
Harry Kane turut mencatat nama sebagai penjaring.
Kemenangan itu hadir selepas Borussia Dortmund tercicir mata kepada Stuttgart, membolehkan Bayern mengukuhkan kedudukan di tangga teratas liga.
Kane memuji semangat juang tinggi dipamerkan rakan sepasukan dalam perlawanan itu.
“Kami tunjuk karakter sebenar. Separuh masa kedua lebih bertenaga, lebih kemas dengan dan tanpa bola, itulah wajah sebenar Bayern,” katanya.
Rakan sepasukan, Aleksander Pavlovic, turut memuji Karl yang berusia 17 tahun.
“Saya tak pernah lihat pemain seusia itu begitu yakin. Dia luar biasa dan menyeronokkan untuk bermain bersama,” katanya.
Dengan kunjungan ke Arsenal pada pertengahan minggu, jurulatih Vincent Kompany merombak kesebelasan utama dengan merehatkan Joshua Kimmich dan Serge Gnabry, keputusan yang dilihat memakan diri apabila Freiburg mendahului 2-0.
Namun, Bayern bangkit apabila Karl menyambar umpanan Olise untuk gol pertama sebelum pemain remaja itu pula mencipta peluang buat Olise menyamakan kedudukan.
Karl hampir menjaringkan gol kedua tetapi dibatalkan kerana ofsaid.
Bayern akhirnya mendahului apabila Upamecano menolak masuk bola hantaran sudut Olise.
Kane kemudian meledak gol ke-24 musim ini dari jarak dekat.
Olise meneruskan malam magisnya dengan menghantar bola untuk Jackson menjadikan kedudukan 5-2 sebelum menjaringkan gol keduanya di hujung permainan, melengkapkan kebangkitan dramatik Bayern yang hanya tercicir dua mata dalam 18 perlawanan musim ini. – AFP
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
