SIAPA sangka minat berniaga secara kecil-kecilan di pasar malam akhirnya membuka jalan kejayaan kepada seorang graduan muda Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nurin Nasyatun Aesya Rokaid, 25, yang bakal menerima ijazah sarjana mudanya pada Majlis Konvokesyen UPSI ke-26 pada 17 November ini.
Anak jati Kampung Selising, Pasir Puteh, Kelantan ini merupakan pemilik sebuah restoran di Telok Panglima Garang, Selangor, yang menawarkan pelbagai hidangan tradisional popular Pantai Timur seperti Nasi Kerabu Tumis, Nasi Dagang, Nasi Berlauk, Nasi Kukus Ayam Berempah dan Nasi Minyak Kenduri Kahwin.
Menurut Nurin, perjalanan keusahawanannya bermula secara tidak sengaja selepas menamatkan pengajian di UPSI, yang mana ketika itu, beliau sekadar mencari aktiviti untuk mengisi masa lapang sementara menunggu majlis konvokesyen.

“Saya mula berniaga dengan niat untuk mencuba sesuatu yang baharu, sekadar ingin mengisi masa lapang. Namun, lama-kelamaan ianya semakin seronok dan mula nampak potensi besar dalam bidang ini,” katanya.
Nurin mengakui, semangat dan bakat keusahawanan dalam dirinya banyak dipengaruhi oleh bapanya, Rokaid Chik, seorang usahawan runcit dan borong yang juga bekas pengamal media dan penulis.
“Ayah banyak memberi inspirasi. Dari kecil saya lihat bagaimana beliau berusaha keras dalam perniagaan. Saya belajar bahawa kejayaan tidak datang bergolek, tetapi hasil daripada kerja keras dan keazaman.
“Saya sentiasa semat di dada mengenai ingatan ayah saya, berniaga adalah lubang kaya raya, sunnah jalan yang ditunjukkan Rasulullah SAW. Hatta, boleh menjadi jutawan seperti mana ramai kaum Cina di Malaysia” ujar beliau.
Selain dorongan daripada bapanya, Nurin juga berterima kasih kepada ibunya, Ros Mahani Ramli dan kakak sulungnya, Dr. Nurliyana Adibah, yang banyak memberi sokongan moral dan material.
“Kakak saya memberikan saya peluang untuk menguruskan sebuah kedai yang disewanya. Dari situ, kami ubah suai premis tersebut menjadi restoran yang kini menjadi tumpuan pelanggan sekitar Telok Panglima Garang,” katanya.

Salah satu menu yang mendapat sambutan luar biasa ialah Nasi Kerabu Tumis Kelantan hasil olahan resipi warisan keluarganya sendiri.
Bersama tunangnya, Awaluddin Aiman, 25, mereka memperkenalkan menu tersebut di pasar malam sekitar Shah Alam dan tidak disangka-sangka jualan mereka sering habis dalam masa singkat.

“Alhamdulillah, sambutan yang kami terima sangat menggalakkan. Dari hanya berniaga di pasar malam, kini kami mampu membuka restoran sendiri dan menggaji beberapa pekerja tetap,” katanya lagi dengan senyuman bangga.
Menyedari potensi besar dalam bidang makanan dan minuman, Nurin memutuskan untuk meneruskan kariernya sebagai usahawan sepenuh masa.
“Saya kini lebih selesa dan bahagia menjadi usahawan. Saya tidak lagi bercadang untuk mencari pekerjaan kerajaan. Dunia perniagaan memberi saya ruang untuk berkarya, berdikari dan mencipta peluang untuk orang lain,” katanya.
Namun begitu, Nurin tetap menekankan kepentingan ilmu dan berhasrat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi pada masa hadapan.
“Saya berpegang pada prinsip, kejayaan dunia perlu seiring dengan ilmu. Insya-Allah, satu hari nanti saya akan menyambung pengajian sehingga ke peringkat PhD,” tambahnya dengan penuh tekad.
Kisah kejayaan Nurin membuktikan, dengan semangat, keberanian dan sokongan keluarga, seseorang mampu mengubah langkah kecil menjadi perjalanan besar menuju kejayaan iaitu dari pasar malam, kini ke pentas konvokesyen.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001