MB Selangor Ditegur ‘Terlalu Mengagungkan’ Kampung Baru Cina – Warisan Melayu Didakwa Terpinggir

PUTRAJAYA – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, menerima teguran keras daripada Datuk Wira Marzuki Yahya, susulan kenyataannya yang didakwa terlalu mengagungkan Kampung Baru Cina sebagai tarikan pelancongan utama negeri sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Marzuki yang juga Ketua Setiausaha Sekretariat Orang Melayu, melahirkan rasa kecewa dengan laporan Media Selangor bertarikh 6 November 2025 yang menonjolkan inisiatif kerajaan negeri bagi memperkenalkan Kampung Baru Cina sebagai produk pelancongan utama.

Beliau menegaskan, tindakan tersebut dianggap tidak berimbang kerana tidak langsung menyentuh atau mengiktiraf peranan Kampung Baru Melayu sebagai sebahagian warisan penting negeri.

“Usaha memperkenalkan kepelbagaian budaya negeri boleh dihargai, namun pengagungan yang keterlaluan terhadap kampung baru Cina tanpa menyentuh warisan Kampung Baru Melayu adalah tindakan yang menyinggung perasaan orang Melayu Selangor,” katanya.

Marzuki turut mengingatkan Selangor merupakan negeri beraja yang berakar daripada sejarah Kesultanan Melayu dan ratusan Kampung Baru Melayu di negeri itu masih mengekalkan adat, seni bina serta budaya yang wajar diketengahkan dalam promosi pelancongan negeri.

Beliau turut mempersoalkan keputusan kerajaan negeri yang didakwa tidak menonjolkan langsung warisan Melayu dalam agenda pelancongan, sekali gus menampakkan kelemahan kefahaman sejarah dan kepekaan budaya.

“Kampung Baru Cina bukanlah lambang warisan asal Selangor, tetapi hasil dasar darurat British (1948–1960). Menjadikan penempatan sebegini sebagai simbol warisan negeri seolah mengangkat peninggalan penjajah, bukannya jati diri Melayu Selangor,” tegasnya.

Marzuki yang merupakan mantan Timbalan Menteri Luar turut menyifatkan kenyataan Amirudin itu sebagai bertentangan dengan tanggungjawab moral dan politik seorang pemimpin negeri Melayu beraja.

Beliau menuntut agar kerajaan negeri menarik semula kenyataan tersebut dan memperbetulkan fokus promosi pelancongan dengan memberi perhatian kepada pembangunan Kampung Baru Melayu.

Antara cadangan yang dikemukakan termasuk menarik balik kenyataan yang dilihat mengagungkan Kampung Baru Cina; menyusun pelan tindakan khusus untuk memajukan Kampung Baru Melayu sebagai destinasi warisan dan pelancongan; dan menubuhkan Jawatankuasa Warisan Melayu Negeri Selangor yang dianggotai pakar sejarah, budayawan serta wakil NGO Melayu bagi memastikan dasar pelancongan negeri berpaksikan keseimbangan budaya.

Beliau juga turut menegaskan, pembangunan pelancongan warisan mesti berpaksikan kepada identiti asal negeri, bukan semata-mata faktor komersial.

“Warisan Melayu Selangor mempunyai potensi pelancongan yang besar, daripada rumah tradisional, ukiran kayu, makanan warisan hingga permainan dan seni budaya seperti kompang, silat serta zapin. Semuanya mencerminkan nilai autentik yang tidak wajar diabaikan,” katanya lagi.

Beliau mengingatkan, memimpin negeri Melayu bukan hanya soal pentadbiran ekonomi, tetapi juga memikul tanggungjawab mempertahankan maruah dan identiti bangsa.

“Selangor berdiri megah kerana warisan Melayu dan institusi rajanya. Jangan biar ia dikhianati oleh pemimpin yang lupa daratan,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *