KUALA LUMPUR – Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa Malaysia kini sedang “menyerah kemerdekaan” kepada kuasa asing, khususnya Amerika Syarikat, melalui perjanjian perdagangan dan ekonomi yang disifatkannya sebagai berat sebelah serta menghakis kedaulatan negara.
Dalam satu kenyataan bertajuk “Menyerah Kemerdekaan” yang dimuat naik di laman rasmi beliau semalam, Dr. Mahathir menyatakan rasa kecewanya apabila melihat pemimpin masa kini sanggup “menyerah kemerdekaan negara hanya untuk nampak hebat buat beberapa minit dan diusap kepala oleh pemimpin asing”.
“Kini kita terpaksa tunduk pada kehendak Amerika Syarikat dalam hampir semua urusan perdagangan dan ekonomi kita. Ternampak yang kita telah serah kedaulatan kita,” katanya.
Dr. Mahathir mengimbas kembali perjuangan kemerdekaan pada tahun 1957 yang menurutnya berasaskan semangat menentukan nasib sendiri tanpa campur tangan kuasa luar.
Beliau turut menyinggung peristiwa Dawn Raid dan kempen Buy British Last sebagai lambang keazaman Malaysia mempertahankan kedaulatan ekonomi ketika itu.
Namun, katanya, semangat itu semakin luntur apabila Malaysia bersetuju dengan syarat-syarat perdagangan yang didakwa memberi kelebihan besar kepada Amerika Syarikat.
“Apa yang kita saksikan bukanlah satu perkongsian, jauh sekali timbal balik. Ia penyerahan kebebasan ekonomi yang kita bina dan pertahankan dengan susah payah,” tegas beliau.
Dr. Mahathir turut mendakwa Malaysia kini membeli kapal terbang, gas dan mesin dari Amerika, mematuhi peraturan digital mereka serta membenarkan akses terhadap hasil nadir bumi tempatan mengikut syarat yang ditetapkan kuasa besar itu, hanya untuk menikmati sedikit pelepasan tarif.
Beliau juga mempertikaikan keberkesanan exit clause dalam perjanjian tersebut, menyatakan bahawa kerajaan seharusnya tidak menandatangani perjanjian yang “menjerut kemerdekaan negara” sejak awal.
“Jika kerajaan gunakan exit clause untuk lepaskan diri dari perjanjian berat sebelah, jelas kerajaan ini tidak tahu bagaimana untuk berunding dengan baik sejak awal lagi,” katanya.
Menyifatkan keadaan itu sebagai bentuk penjajahan baharu (neo-kolonialisme), Dr. Mahathir menggesa kerajaan agar tidak lagi menyorok di sebalik istilah “perdagangan” dan “kerjasama”.
“Akuilah yang anda telah perdagangkan kemerdekaan negara kerana anda tidak berani dan terlalu ingin senangkan hati kuasa asing,” ujar beliau lagi.
Kenyataan itu diakhiri dengan kecaman terhadap Amerika Syarikat yang menurutnya “menyokong dan melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin”.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
