PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba mengelirukan rakyat dengan kenyataan cuba menutup rekod jenayah lampau yang telah dibuktikan melalui proses perundangan yang sah dan telus.
Ketua Setiausaha Sekretariat Orang Melayu, Datuk Wira Marzuki Yahya berkata, Anwar sekarang ini seboleh mungkin cuba mempengaruhi rakyat, kononnya beliau pernah menjadi mangsa penganiayaan politik dan ketidakadilan sistem kehakiman negara.
“Merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri dalam program In Conversation with Anwar Ibrahim sempena Forum Ilmu PNB 2025 pada 21 Oktober lalu. Dakwaan beliau adalah naratif politik semata-mata tanpa asas undang-undang.
“Sedangkan, semua pertuduhan ke atasnya termasuk kes salah laku seks luar tabii telah melalui proses kehakiman lengkap, daripada siasatan hingga kepada keputusan Mahkamah Persekutuan.
“Mahkamah Tinggi telah mendapati wujudnya prima facie dan Anwar dipanggil membela diri. Selepas perbicaraan penuh, beliau disabitkan bersalah berdasarkan bukti sahih dan keterangan saksi hidup,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Anwar dalam program itu semalam dilaporkan berkata, beliau mahu memastikan tiada siapa lagi melalui apa yang pernah dilaluinya.
Anwar menerusi luahan penuh makna itu mengakui, pengalaman lebih sedekad di penjara menjadi titik perubahan terbesar dalam kehidupannya.
Katanya, tempoh itu memberi beliau ruang untuk melihat sisi gelap sistem keadilan, apabila undang-undang boleh dijadikan alat politik dan manusia boleh kehilangan maruah hanya kerana perbezaan kasta sosial.
Menurut Marzuki, tiada satu pun keputusan kehakiman yang menyatakan Anwar menjadi mangsa konspirasi politik dan keputusan mahkamah adalah muktamad serta wajib dihormati dalam sebuah negara demokrasi berperlembagaan.
Beliau turut mengkritik tindakan Anwar menggunakan pentas antarabangsa untuk membentuk persepsi bahawa dirinya teraniaya, sedangkan sabitan terhadapnya adalah sah dari segi undang-undang.
“Kisah peribadi atau pengalaman dalam penjara tidak wajar dijadikan alasan untuk merombak sejarah jenayah yang telah dibuktikan. Sebagai Perdana Menteri, beliau sepatutnya mempertahankan integriti institusi kehakiman, bukan mempertikaikannya,” katanya.
Beliau juga menyifatkan kenyataan Anwar sebagai satu usaha mengalihkan perhatian rakyat daripada isu-isu mendesak seperti tekanan ekonomi, kos sara hidup dan kelemahan pentadbiran negara.
“Anwar boleh berkata apa sahaja di media, namun beliau tidak boleh mengubah fakta bahawa beliau pernah disabitkan bersalah oleh mahkamah. Itu adalah sebahagian daripada rekod sejarah negara,” tegasnya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
