KOTA KINABALU – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17) ditetapkan pada 29 November ini.
Tarikh penamaan calon pula pada 15 November, manakala pengundian awal akan dijalankan 25 November, umum Pengerusinya, Datuk Seri Ramlan Harun.
Beliau berkata, seramai 1,784,843 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing pada pilihan raya kali ini dengan jumlah itu merangkumi 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera dan pasangan, serta 12,729 anggota polis serta pasangan.
Tempoh berkempen akan bermula sejurus selepas pengisytiharan calon pada 15 November dan berakhir pada jam 11.59 malam 28 November, sekali gus memberi ruang 14 hari berkempen bagi semua parti dan calon yang bertanding.
Dalam pengumuman sama, Ramlan menjelaskan, SPR tidak akan melaksanakan undi pos bagi pengundi Sabah yang berada di Semenanjung Malaysia.
Menurut beliau, setakat ini tiada ketetapan rasmi mengenai pelaksanaan mekanisme undi pos untuk kategori berkenaan.
“Buat masa ini, keputusan berhubung perkara sebegitu belum diputuskan SPR. Jadi, pengundi rakyat Sabah yang berada di Semenanjung perlu balik untuk mengundi,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas SPR di sini, hari ini.
Sebelum ini, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) termasuk kumpulan hak asasi dan badan pemantau pilihan raya menggesa SPR untuk mempertimbangkan kemudahan undi pos bagi rakyat Sabah yang berada di luar negeri.
Cadangan itu dikemukakan bagi memastikan penglibatan lebih meluas dalam proses demokrasi dan mengurangkan kos perjalanan bagi pengundi yang berada jauh dari negeri asal mereka.
Dalam masa sama, Ramlan memberi jaminan tarikh pengundian PRN17 tidak akan menjejaskan perjalanan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadual bermula pada 22 November ini.
“SPR telah mengambil kira aspek logistik secara menyeluruh sebelum menetapkan tarikh pengundian, termasuk penggunaan lokasi antara pusat mengundi dan pusat peperiksaan.
Pengundian akan dijalankan pada hari Sabtu, jadi insya-Allah ia tidak akan bertembung dengan jadual peperiksaan,” jelasnya.
Beliau berkata, kerjasama erat antara SPR dan Kementerian Pendidikan akan memastikan kelancaran kedua-dua proses iaitu pilihan raya dan peperiksaan dapat dicapai tanpa sebarang gangguan.
Terdahulu, pada 6 Oktober lalu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri, Tun Musa Aman, sekali gus membuka laluan kepada pelaksanaan PRN17.
DUN Sabah mempunyai 79 kerusi dengan 73 kerusi dipertandingkan dan enam kerusi lagi diwakili oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik.
SPR menyeru semua pihak termasuk parti politik, calon dan pengundi untuk menjalankan proses pilihan raya secara beretika dan berhemah, selaras dengan prinsip demokrasi serta undang-undang pilihan raya sedia ada.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
