Isu Jenayah di Sekolah: Kabinet Akan Buat Keputusan Segera – Perdana Menteri

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Jemaah Menteri akan membuat keputusan segera dan menyeluruh berhubung beberapa insiden jenayah membabitkan pelajar yang berlaku di kawasan sekolah sejak kebelakangan ini.

Menurut Perdana Menteri, keputusan itu akan dimuktamadkan dalam mesyuarat Kabinet esok, selepas perbincangan awal bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek serta beberapa pegawai kanan kerajaan yang berkaitan pagi ini.

“Esok kita akan berbincang dengan Kabinet secara terperinci… Tadi saya sudah berbincang sedikit dengan Menteri (Fadhlina Sidek) dan beberapa orang pegawai.

“Esok kita buat keputusan,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-43 (AMEM-43) dan Forum Perniagaan Tenaga ASEAN ke-25 (AEBF-25) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Kenyataan itu dibuat susulan beberapa kes jenayah serius yang berlaku di institusi pendidikan negara, termasuk kes rogol dan bunuh melibatkan pelajar, yang telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat dan ibu bapa.

Antara kes terbaharu, polis menahan seorang bekas pelajar dan tiga pelajar lelaki di sebuah sekolah di Baling, Kedah, disyaki terlibat dalam kes rogol bawah umur.

Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku antara Mei hingga Ogos lalu di beberapa lokasi termasuk dalam kawasan sekolah.

Dalam satu lagi kejadian pada 14 Oktober lalu, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun dilaporkan maut dibunuh rakan sekolah berusia 14 tahun di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya.

Kes tersebut kini dalam siasatan lanjut pihak berkuasa.

Sementara itu, pada 11 Oktober, empat pelajar Tingkatan Lima ditahan reman bagi membantu siasatan kes rogol bergilir-gilir ke atas seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah, Melaka.

Dua daripada suspek berusia 17 tahun yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah dihadapkan ke Mahkamah Kanak-Kanak Alor Gajah, berdepan tiga pertuduhan serius termasuk rogol berkumpulan, persetubuhan bertentangan tabii dan amang seksual fizikal.

Mengulas lanjut, Fadhlina memaklumkan, kementeriannya akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat kes melibatkan pelajar secara menyeluruh, termasuk bunuh di Petaling Jaya baru-baru ini.

“Jawatankuasa ini akan memastikan semua aspek berkaitan insiden disiasat secara tuntas, telus dan adil. Fokus kita bukan sahaja kepada tindakan terhadap pelaku, tetapi juga pencegahan dan pemulihan persekitaran sekolah,” katanya dalam satu kenyataan media.

KPM turut dijangka memperkukuh prosedur keselamatan sekolah, pemantauan disiplin pelajar, serta intervensi psikososial bagi menangani tekanan dan gejala sosial dalam kalangan pelajar.

Perdana Menteri menegaskan, Kerajaan Perpaduan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk jenayah yang berlaku di sekolah, sambil menyifatkan insiden itu sebagai amaran serius yang memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan pelbagai kementerian dan agensi.

“Kita tidak boleh pandang ringan. Ini soal keselamatan anak-anak kita dan masa depan negara. Saya mahu tindakan tegas dan penyelesaian konkrit diambil,” tegasnya.

Kerajaan akan mengumumkan langkah intervensi awal selepas mesyuarat Kabinet pada 17 Oktober ini.

Langkah tersebut dijangka melibatkan pengukuhan kawalan keselamatan sekolah, penambahbaikan sistem kaunseling, serta penguatkuasaan undang-undang sedia ada secara lebih menyeluruh.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *