PN Sedia Hadapi PRN Sabah, Seru Rakyat Lakukan Perubahan

KOTA KINABALU – Perikatan Nasional (PN) menyatakan kesediaan sepenuhnya untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, semalam.

Pengerusi PN Sabah, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dalam satu kenyataan hari ini, menyifatkan pembubaran tersebut sebagai langkah yang telah lama dinantikan oleh rakyat negeri itu, sekali gus membuka ruang kepada mereka untuk menentukan hala tuju baharu pentadbiran Sabah.

“Pembubaran DUN Sabah hari ini telah lama dinanti-nanti oleh rakyat Sabah kerana ia akan membuka ruang kepada rakyat untuk menentukan semula hala tuju negeri yang baharu,” katanya.

Menurut beliau, Perikatan Nasional yakin bahawa rakyat Sabah kini lebih matang dan bersedia membuat keputusan demi masa depan negeri yang lebih stabil dan bermaruah.

“Perikatan Nasional yakin rakyat Sabah sudah cukup matang dan bersedia untuk melakukan perubahan demi masa depan yang lebih baik dengan memilih kerajaan negeri baharu,” ujarnya.

Dr. Ronald turut menyeru rakyat Sabah untuk bangkit bersama PN dalam usaha membina sebuah kerajaan negeri yang stabil, cekap dan bermaruah, selaras dengan aspirasi gabungan itu untuk membawa perubahan menyeluruh di peringkat negeri.

PRN Sabah kali ini dijangka menjadi medan penting bagi parti-parti utama negara, termasuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Parti Warisan, yang bakal bersaing mempertahankan pengaruh masing-masing.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengumumkan tarikh penamaan calon dan hari pengundian dalam masa terdekat.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *