PUTRAJAYA – Ketua Setiausaha Sekretariat Orang Melayu, Datuk Wira Marzuki Yahya menyambut baik kenyataan mantan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB), Tan Sri Ambrin Buang berhubung isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru serta keprihatinan dizahirkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah terhadap perkara itu.
Beliau mengambil maklum kenyataan bertarikh 1 Oktober lalu oleh Ambrin yang menggesa agar tanah Kampung Sungai Baru diwartakan semula sebagai kawasan Malay Agricultural Settlement (MAS) bagi memastikan ia kekal sebagai penempatan orang Melayu, selaras dengan tujuan asal pewartaan kawasan tersebut.
Katanya, Ambrin adalah Ahli Dewan di-Raja Selangor dan anak jati Kampung Bharu, sudah tentu lebih arif dengan perkara itu sehingga menzahirkan kebimbangan terhadap kemungkinan hak milik tanah berkenaan terlepas daripada pegangan orang Melayu sekiranya pembangunan tidak dilaksanakan dengan garis panduan yang jelas dan berpaksikan kepentingan masyarakat Melayu.
“Saya juga menjunjung kasih atas keprihatinan Sultan Selangor yang telah disembah maklum berkenaan kenyataan tersebut dan sebelum ini telah menitahkan supaya sebarang pembangunan di Kampung Baru dilaksanakan secara teliti, berhemah dan dengan keutamaan kepada kepentingan orang Melayu.
“Saya percaya suara tokoh-tokoh berwibawa seperti Tan Sri Ambrin serta titah Sultan Selangor, mencerminkan kepentingan jangka panjang untuk memelihara identiti, hak milik dan masa depan masyarakat Melayu di kawasan strategik seperti Kampung Bharu dan Kampung Sungai Baru,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Media melaporkan, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah disembah maklum serta meneliti kenyataan media oleh Ambrin berkenaan isu pembangunan semula di Kampung Sungai Baru.
Menurut kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Selangor Royal Office, Ambrin yang juga Ahli Dewan di-Raja Selangor serta anak jati Kampung Bharu pernah berkhidmat sebagai Ketua Audit Negara.
Sehubungan itu, Marzuki menggesa kerajaan Persekutuan dan agensi berkaitan mengambil tindakan segera dan mempertimbangkan semula dasar serta pelaksanaan pembangunan di kawasan tersebut agar selari dengan hasrat asal pewartaan dan aspirasi komuniti tempatan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001