SCIB terima tawaran YTL Cement ambil alih SCIB Concrete

KUCHING – Sarawak Consolidated Industries Bhd. (SCIB), pakar sistem bangunan perindustrian, mengumumkan penerimaan tawaran indikatif bernilai RM113 juta daripada YTL Cement (Sarawak) Sdn. Bhd. untuk mengambil alih keseluruhan kepentingan ekuiti dalam SCIB Concrete Manufacturing Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuhnya.

Tawaran itu, yang masih tertakluk kepada syarat tertentu termasuk pemeteraian perjanjian jual beli saham muktamad, diterima selepas perbincangan di peringkat lembaga pengarah.

Bagi memastikan proses penilaian telus dan menyeluruh, SCIB akan melantik penasihat profesional bagi memberikan pandangan dari aspek undang-undang, kewangan dan strategi.

Urus niaga yang dicadangkan juga memerlukan kelulusan pemegang saham dalam masa terdekat.

Pengerusi Eksekutif SCIB, Datuk Chong Loong Men berkata, tawaran berkenaan membuka ruang untuk syarikat menilai potensi nilai salah satu unit perniagaan terasnya.

Beliau menegaskan SCIB akan berhati-hati dalam meneliti cadangan berkenaan dengan bantuan penasihat profesional, sebelum membuat keputusan muktamad.

Katanya, SCIB kekal terbuka meneroka peluang strategik lain serta menimbang setiap pilihan dengan teliti, dengan mengutamakan kepentingan syarikat dan semua pihak berkepentingan.

Sejajar dengan keperluan penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia, SCIB akan membuat pengumuman lanjut apabila perjanjian muktamad dimeterai atau sekiranya berlaku sebarang perkembangan penting.

Syarikat itu juga menegaskan komitmen terhadap ketelusan, selain memastikan kepentingan pemegang saham, pekerja, pelanggan serta rakan perniagaan terus dipelihara.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *