TANAH MERAH – Selepas seminggu menyempurnakan tugas sebagai tuan rumah kepada Bengkel Penulisan Skrip Teater dan Persembahan Monolog Siri Kedua anjuran Pertubuhan Karyawan Seniman Malaysia (PAKSI), pasangan suami isteri yang sinonim dengan kerja-kerja komuniti, Cikgu Sharifah dan Pak Kassim kembali menghidupkan semangat kejiranan.
Kali ini dengan menganjurkan pertandingan memancing di kolam air tawar yang terletak dalam kawasan kebun mereka.
Acara yang berlangsung di Rumah Kebun Cikgu Sharifah dan Pak Kassim itu, bukan sekadar aktiviti santai hujung minggu, tetapi menjadi wadah mempererat silaturahim antara penduduk Kampung Cita Jaya dalam suasana penuh ketenangan dan keindahan alam semula jadi.

Lebih 30 penduduk kampung, dari kanak-kanak, remaja, dewasa hinggalah ke warga emas hadir memenuhi undangan tuan rumah yang mahu melihat komuniti setempat bergembira, bermesra dan berinteraksi dalam suasana yang harmoni.
Tanpa sebarang yuran penyertaan, acara itu terbuka kepada semua, tanpa mengira latar belakang atau usia.
Menariknya, kebun itu bukan dibina sekadar untuk menjadi tempat tinggal, malah sewaktu merancang membina kediaman kira-kira lima tahun lalu, pasangan ini telah membuat keputusan untuk tidak menebang pokok-pokok hutan sedia ada, sebaliknya mengekalkan elemen semula jadi sebagai sebahagian daripada identiti kawasan tersebut.

Hasilnya, kawasan kebun mereka kini dipenuhi kehijauan, redup dengan naungan pokok-pokok besar serta udara segar yang jarang dapat dinikmati dalam hiruk-pikuk kehidupan moden.
Kolam yang dijadikan lokasi pertandingan memancing itu juga diselia sendiri oleh pasangan ini, lengkap dengan sistem penjagaan ikan dan ekosistem air yang lestari.
Antara ikan yang berjaya dipancing oleh para peserta ialah keli, becak serta kelihatan pelbagai gelagat lucu dan riuh rendah suara peserta bergema di tepi kolam.
Ada yang sabar menunggu umpan disambar, ada yang bersorak apabila joran melentur dan tidak kurang juga yang ketawa sendiri apabila tali pancing sekadar diangkat kosong.

Namun, semua itu tidak menjadi ukuran kepada pasangan tuan rumah. Bagi mereka, kegembiraan yang terukir di wajah para peserta dan kemesraan yang terjalin sesama penduduk kampung itulah sebenarnya hadiah paling bermakna.
Pemenang utama pertandingan ialah Nurul Nadiya yang menaikkan keli seberat 3.6 gram, diikuti tempat kedua, Nur Imani (keli 2.05 gram); ketiga, Muhammad Irfan (keli 2.04 gram); dan keempat, Muhammad Ikmal (keli 1.04 gram).

Manakala kategori ibu pula dimenangi peserta bernama Mok Yoh yang membawa naik becak seberat 0.5 gram dan Yati (becak 0.3 gram).
“Kami seronok tengok anak-anak kampung ini bergelak ketawa, duduk bawah pokok, makan sama-sama, memancing sama-sama. Inilah sebenarnya erti kejiranan,” kata Pak Kassim sambil tersenyum puas.

Sebagai tanda penghargaan, hadiah turut disediakan untuk para pemenang utama pertandingan.
Ramai yang berjaya menaikkan hasil tangkapan yang memuaskan dan pulang dengan senyuman serta hadiah yang disediakan oleh Cikgu Sharifah dan Pak Kassim.
Namun begitu, tidak dilupakan juga peserta lain yang mungkin kurang bernasib baik, pihak tuan rumah turut menyediakan hadiah sagu hati supaya semua yang hadir tetap merasa dihargai dan terhibur.
“Bukan siapa dapat ikan yang paling besar yang penting, tapi siapa yang sudi luangkan masa bersama-sama hari ini, itu lebih bermakna,” kata Cikgu Sharifah.
Acara seperti ini membuktikan bahawa rumah bukan hanya tempat berteduh, dan kebun bukan hanya tempat bercucuk tanam.
Dengan sedikit inisiatif dan semangat kemasyarakatan, ia boleh menjadi ruang komuniti yang hidup, tempat ilmu disemai, seni diraikan dan silaturahim dieratkan.

Semoga semangat yang ditunjukkan oleh Cikgu Sharifah dan Pak Kassim ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai individu dan keluarga di luar sana untuk menggunakan ruang yang mereka miliki, walau sekecil mana pun sebagai tempat menyemai kasih sayang dan semangat kejiranan.
Hadiah disampaikan kepada semua pemenang sebagai tanda penghargaan, namun menurut tuan rumah, nilai sebenar acara ini terletak pada kebersamaan dan keceriaan yang terjalin.
Acara ini turut menerima reaksi positif daripada penduduk kampung yang berharap aktiviti sebegini dapat diteruskan secara berkala, sekali gus menghidupkan semula nilai-nilai kejiranan yang semakin pudar dalam arus kehidupan moden. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001