SHAH ALAM – Dewan Pemuda Pas Selangor menyeru seluruh rakyat, khususnya anak muda di negeri ini, untuk hadir beramai-ramai menyertai Himpunan #TolakURA yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu, 4 Oktober 2025 di Kuala Lumpur, sebagai tanda bantahan terhadap Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (URA).
Seruan tersebut disuarakan oleh Naib Ketua Pemudanya, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai dalam kenyataan media semalam, sebagai menyahut seruan Ketua Pemuda Pas Malaysia yang menggesa penyertaan besar-besaran dalam himpunan tersebut.
Menurut beliau, kejadian yang berlaku di Kampung Sungai Baru menjadi bukti jelas bahawa proses pembaharuan semula bandar boleh disalahgunakan sekiranya tidak ditangani dengan berhati-hati dan telus.
“Belum pun URA diluluskan, rakyat sudah dihalau secara paksa oleh pemaju yang tidak berperikemanusiaan.
“Apa akan terjadi sekiranya akta ini benar-benar berkuat kuasa? Kami khuatir ia hanya akan mempercepatkan lagi proses pengusiran rakyat atas nama pembangunan semula,” tegas beliau.
Tambah Faizzuddin, meskipun Pas menyokong pembangunan, namun banyak kelemahan ketara dalam draf URA perlu diberi perhatian.
Antaranya, kata beliau, nilai ambang persetujuan terlalu rendah serta kuasa mutlak diberikan kepada menteri, dilihat boleh membuka ruang penyalahgunaan kuasa dan penindasan terhadap rakyat.
Beliau juga menegaskan, rakyat terutama anak muda di Selangor, tidak boleh berdiam diri dalam isu ini kerana ia menyentuh hak milik, masa depan komuniti bandar dan prinsip keadilan sosial.
“Himpunan ini adalah medan untuk kita menunjukkan solidariti menolak dasar yang memberi kelebihan besar kepada pemaju, tetapi menafikan hak rakyat marhaen yang telah sekian lama mendiami kawasan tersebut,” katanya lagi.
Justeru, Pemuda Pas Selangor turut mengajak semua lapisan masyarakat termasuk NGO, mahasiswa, pekerja serta komuniti setempat, tanpa mengira latar belakang, untuk turut serta dalam himpunan aman tersebut.
“Kehadiran anda adalah tanda cinta kepada negeri dan negara. Jangan biarkan suara rakyat dipadamkan oleh kepentingan kapitalis,” ujarnya.
Himpunan #TolakURA dijangka menarik kehadiran ribuan peserta dari seluruh negara dan akan berlangsung secara aman sebagai usaha rakyat menyatakan pendirian terhadap dasar yang dilihat berat sebelah serta mengancam hak komuniti bandar. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001