UMNO Sabah–GRS, Retak tak mungkin Bertaut Menjelang PRN 17

Dari Meja Editorial

Manzaidi

ISU hubungan antara UMNO Sabah dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bukan lagi sekadar persoalan strategi pilihan raya, tetapi telah berkembang menjadi satu krisis kepercayaan yang mendalam.

Sejak PRN Sabah 2020, episod “luka lama” itu terus menghantui hubungan kedua-dua pihak dan menjelang PRN ke-17, jurang ini semakin jelas apabila UMNO Sabah menutup rapat pintu kerjasama.

Kemenangan besar BN/UMNO pada PRN 2020 dengan 14 kerusi DUN berbanding Bersatu (kemudian sebahagian daripada GRS) yang hanya menang 11 kerusi, secara moral meletakkan UMNO sebagai blok paling dominan dalam gabungan anti-Warisan.

Namun, kompromi politik berlaku apabila Datuk Seri Hajiji Noor dilantik sebagai Ketua Menteri, bukan UMNO.

Lebih menyakitkan, janji-janji tertentu termasuk pengagihan portfolio Kabinet negeri didakwa tidak ditunaikan.

Bung Moktar sendiri menegaskan beliau dijanjikan portfolio Menteri Kerja Raya, namun ia bertukar saat akhir. UMNO juga mendakwa wujud unsur sabotaj apabila GRS menggunakan calon bebas untuk memecahkan undi.

Hakikat bahawa UMNO merasa “ditikam dari belakang” inilah yang membentuk naratif bahawa kerjasama dengan GRS adalah tidak berbaloi, malah berisiko mengulangi pengkhianatan yang sama.

Secara konsisten, hampir semua daripada 25 bahagian UMNO Sabah menolak kerjasama dengan GRS. Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee, mengumpamakan kerjasama semula dengan GRS sebagai “bunuh diri politik.”

Bagi UMNO Sabah, perasaan dikhianati itu bukan sekadar pandangan elit politik, tetapi turut disuarakan oleh akar umbi. Sentimen di peringkat bahagian amat penting kerana mereka merupakan tenaga mobilisasi pilihan raya. Tanpa sokongan penuh akar umbi, sebarang bentuk kerjasama hanya akan melumpuhkan jentera UMNO di lapangan.

Ini menjelaskan mengapa Bung Moktar memilih untuk mendengar suara bahagian daripada tunduk kepada sebarang usaha mendamaikan dengan GRS.

Selain faktor sejarah, UMNO Sabah menimbulkan isu tadbir urus GRS. Litigasi sivil terhadap Ketua Menteri, kontroversi perlombongan serta beberapa keputusan dasar yang dianggap lemah, memberi alasan tambahan mengapa GRS tidak lagi dilihat sebagai rakan yang sesuai.

Dari sudut analisis politik, ini adalah strategi UMNO untuk menggambarkan GRS bukan sahaja pengkhianat, tetapi juga liabiliti politik. Dengan menekan isu integriti dan kepimpinan, UMNO cuba membina naratif bahawa BN–PH adalah alternatif lebih stabil untuk Sabah.

Namun, tidak dapat dinafikan, GRS masih menguasai kerajaan negeri dengan jentera pentadbiran dan sumber yang besar. Persoalan yang timbul: adakah isu integriti cukup kuat untuk menggugat sokongan rakyat, atau ia sekadar retorik politik untuk menghalalkan penolakan kerjasama?

Pilihan UMNO untuk kekal bersama Pakatan Harapan (PH) di Sabah walaupun hubungan di peringkat pusat tidak sepenuhnya mesra, jelas satu langkah survival.

PH, khususnya DAP dan PKR, mempunyai kekuatan di kawasan bandar dan separa bandar, manakala UMNO masih mempunyai pengaruh di pedalaman dan kawasan majoriti Melayu-Muslim.

Gabungan BN–PH berpotensi melengkapi antara satu sama lain, sekali gus membentuk pakatan “pelbagai muka” yang mampu menyaingi kekuatan GRS. Bagaimanapun, kerjasama ini bukan tanpa risiko.

UMNO perlu berdepan persepsi pengundi tradisional yang masih sukar menerima DAP, manakala PH pula perlu meyakinkan penyokong tegar mereka bahawa bersekutu dengan UMNO bukan pengkhianatan reformasi.

Bagi GRS, kelebihan paling besar ialah mereka kini memegang kuasa kerajaan negeri. Dengan kawalan ke atas jentera pentadbiran, jaringan perkhidmatan awam serta pengaruh politik tempatan, GRS masih mempunyai akar yang kuat.

Di Sabah, politik setempat amat dipengaruhi oleh faktor personaliti pemimpin dan isu pembangunan tempatan, bukan semata-mata ideologi parti. Hajiji Noor masih dilihat sebagai pemimpin yang pragmatik dan dekat dengan rakyat, khususnya di kawasan utara dan pedalaman.

Ini bermakna, walaupun UMNO menolak kerjasama, GRS tidak akan hilang daya saingnya begitu sahaja.

Jika UMNO dan PH berjaya menyatukan kekuatan di kawasan bandar dan pedalaman, mereka berpotensi menyaingi GRS secara serius. Namun, kunci kejayaan ialah disiplin kerjasama dan penyelarasan calon agar tidak berlaku pertembungan dalaman.

Dengan jentera kerajaan dan personaliti Hajiji yang masih popular, GRS boleh mengekalkan penguasaan. Faktor “incumbency” sering menjadi penentu dalam politik Sabah, apatah lagi jika GRS bijak menggunakan kelebihan pentadbiran menjelang pilihan raya.

Jika berlaku pertembungan kerusi antara UMNO–PH dengan GRS dan parti-parti kecil seperti Warisan atau PBS, kemungkinan besar tiada pihak mendapat majoriti selesa. Ini boleh membuka semula pintu kepada politik lompat parti yang sinonim dengan Sabah. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *