SHAH ALAM – Seorang guru sebuah taska di Bandar Rimbayu, dekat sini, ditahan polis kerana dipercayai mendera fizikal dan mental seorang kanak-kanak berusia dua tahun.
Perkara itu disahkan, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superitendan Mohd Akmalrizal Radzi, yang menerima laporan dari ibu mangsa kira-kira jam 9 malam pada 24 Ogos lalu.
Katanya, ibu mangsa segera membuat laporan selepas mendapat makluman daripada guru taska lain mengenai tindakan suspek yang bertindak kasar terhadap anaknya.
“Pengadu melihat rakaman CCTV dan mendapati kejadian berlaku seperti diceritakan guru taska lain sebelum ini dan pengadu juga telah berbincang dengan pihak keluarga berkaitan kejadian itu sebelum membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata, berdasarkan laporan itu, suspek memukul kepala mangsa menggunakan botol air dan tudung saji, selain mengheret kanak-kanak dengan memegang kaki ke bilik air.
Katanya, suspek wanita berusia 38 tahun itu bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis selepas lima hari ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Beliau turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-3187 2222.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001