Hampir sejuta sudah guna SARA, belanja lebih RM50 juta

KUALA LUMPUR – Kira-kira 850,000 rakyat sudah berbelanja dengan peruntukan lebih RM50 juta direkodkan pada hari pertama Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dilaksanakan.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan berkata, berikutan sambutan menggalakkan, sistem mengalami transaksi mendadak, tetapi terkawal.

“Keadaan itu menyebabkan sistem terminal pembayaran yang dikendalikan melalui rangkaian MyKasih mengalami penurunan prestasi ketara di beberapa lokasi,” kata kenyataan itu kepada media.

Kementerian turut memaklumkan walaupun sistem beroperasi dengan lebih perlahan, namun transaksi masih diterima dan diproses.

Katanya, MoF dan MyKasih telah mengambil langkah meningkatkan kapasiti sistem supaya rakyat dapat terus membuat pembelian melalui SARA dengan lancar tanpa gangguan.

“Bagi memastikan sistem kembali stabil dan bersedia untuk rakyat meneruskan perbelanjaan melalui SARA pada 1 Sept 2025, pihak MyKasih akan melaksanakan kerja penyelenggaraan sistem pada malam ini,” menurut MoF.

Kementerian itu turut memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami para pengguna dan akan terus memantau pelaksanaan inisiatif ini agar berjalan lancar.

Menurut kenyataan itu, bilangan transaksi pada Ahad adalah jauh lebih tinggi daripada pengalaman sebelum ini iaitu sehingga 30 Ogos 2025, pelaksanaan bulanan SARA telah dapat mengendalikan purata transaksi harian sekitar 600,000 transaksi sehari.

“MOF juga ingin mengingatkan kredit RM100 sekali bayar Penghargaan SARA ini kekal sah sehingga 31 Dis 2025, dan boleh digunakan di lebih 7,300 premis runcit berdaftar di seluruh negara,” menurut kenyataan.

Penghargaan SARA RM100 ialah bantuan tunai sekali bayar diberikan kepada lebih 22 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas yang dikreditkan ke dalam MyKad. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *