Tiada Makna Merdeka Kalau Minda Masih Dijajah

SETIAP kali menjelang 31 Ogos, kita melaungkan kata keramat “Merdeka!” dengan penuh semangat dan kebanggaan.

Namun, di sebalik laungan itu, persoalan yang wajar kita renungkan ialah, apakah erti merdeka itu sudah benar-benar terzahir dalam kehidupan kita?

Merdeka bukan hanya bebas dari belenggu penjajahan fizikal yang merampas tanah air.

Merdeka yang sebenar ialah apabila jiwa dan minda kita bebas daripada kongkongan kuasa luar.

Malangnya, jika kita masih tunduk kepada telunjuk asing dalam menentukan dasar, hala tuju, budaya, ekonomi bahkan gaya hidup, maka kemerdekaan yang kita banggakan itu hanya tinggal kulit tanpa isi.

Penjajahan bentuk baharu tidak lagi datang dengan senjata dan kapal perang.

Ia datang dalam wajah yang lebih halus, melalui media, hiburan, ekonomi, teknologi, malah cara berfikir.

Ramai yang tanpa sedar terikat kepada mentaliti bergantung, meniru bulat-bulat acuan luar tanpa menilai sesuai atau tidak dengan jati diri bangsa.

Dalam keadaan begini, kita mungkin merdeka pada nama, tetapi belum merdeka pada jiwa.

Hakikatnya, sebuah bangsa yang merdeka mesti memiliki kekuatan untuk berfikir sendiri, membuat keputusan berdasarkan kepentingan rakyat sendiri, dan membina masa depan dengan acuan sendiri.

Selagi kita membiarkan minda dipengaruhi pihak luar, selagi itu kita mudah diarah, diperintah dan akhirnya diperalat.

Justeru, tugas kita hari ini bukan sekadar mempertahankan kemerdekaan yang diwariskan oleh pejuang terdahulu, tetapi memastikan kemerdekaan itu benar-benar hidup dalam pemikiran dan tindakan kita.

Kita mesti melahirkan generasi yang yakin dengan kemampuan diri, berani mencabar hegemoni luar serta tidak mudah goyah dengan dakyah dan pengaruh yang cuba menakluk minda.

Ingatlah, tidak ada makna merdeka kalau minda masih dijajah.

Kemerdekaan sejati hanya wujud apabila rakyatnya teguh dengan jati diri, bebas dalam pemikiran, dan berdaulat dalam menentukan hala tuju negara.

Dato’ Wira Marzuki Yahya

Ketua Setiausaha

Sekretariat Orang Melayu

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *