Dari Meja Editorial
KEMARAHAN rakyat Indonesia memuncak selepas pendedahan bahawa elaun perumahan ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dinaikkan sehingga Rp 50 juta sebulan (sekitar RM13,000).
Jumlah ini hampir 10 kali ganda daripada gaji minimum di Jakarta, sekali gus mencetuskan gelombang bantahan rakyat yang melihat keputusan itu sebagai tidak berperikemanusiaan dan tidak selari dengan realiti hidup majoriti rakyat.
Lebih mencetuskan ketegangan, pengumuman kenaikan elaun tersebut dibuat hanya beberapa hari selepas Presiden Prabowo Subianto mengisytiharkan langkah penjimatan negara.
Rakyat menganggap Ahli Parlimen gagal menunjukkan rasa empati terhadap krisis kos sara hidup yang kian menghimpit.
Kejadian bermula pada 25 Ogos 2025 apabila ribuan mahasiswa, pekerja dan penunggang ojek (motosikal e-hailing) memenuhi kawasan sekitar bangunan Parlimen di Senayan, Jakarta.
Tuntutan utama mereka ialah pembatalan kenaikan elaun. Namun, polis bertindak menutup jalan utama dan lebuh raya menuju ke Parlimen dan gas pemedih mata serta meriam air digunakan untuk menyuraikan peserta.
Keadaan bertukar tegang apabila penunjuk perasaan membaling batu, botol, serta cuba merempuh barisan keselamatan.
Dua hari kemudian, pada 27 dan 28 Ogos, demonstrasi bersambung di beberapa bandar besar lain termasuk Medan, Surabaya, Pontianak, Gorontalo, Bogor dan Aceh.
Di Medan, berlaku pertempuran dengan polis, manakala di Pontianak, mahasiswa menyerbu pejabat DPRD sehingga puluhan ditahan.
Suara bantahan semakin meluas, menuntut bukan sahaja pembatalan elaun, tetapi juga reformasi sistem politik dan dasar yang lebih pro-rakyat.
Pada 28, seorang penunggang ojek berusia 21 tahun, Affan Kurniawan, maut selepas dilanggar kenderaan perisai polis Brimob ketika rusuhan di Jakarta. Video kejadian tular dan menyalakan lagi kemarahan rakyat.
Kejadian itu turut mendapat respon pemimpin pembangkang di Malaysia, yang menzahirkan keprihatinan mendalam terhadap gelombang tunjuk perasaan besar-besaran yang sedang berlaku di Indonesia.
Keputusan yang tidak berjiwa rakyat itu telah mencetuskan kemarahan, mencabar kesabaran masyarakat yang sedang bergelut dengan kos sara hidup tinggi dan akhirnya mengakibatkan tragedi kehilangan nyawa.
Tunjuk perasaan di Jakarta dan beberapa bandar utama Indonesia adalah bukti nyata bahawa apabila wakil rakyat hilang empati, mengutamakan poket sendiri berbanding kebajikan rakyat, maka rakyat bangkit menentang.
Parlimen mesti menjadi medan perjuangan rakyat, bukan gelanggang untuk memperkayakan ahli politik. Sebarang cadangan kenaikan elaun atau keistimewaan untuk Ahli Parlimen sewajarnya hanya diputuskan selepas keadaan ekonomi rakyat benar-benar pulih.
Kerajaan Malaysia pula wajib belajar daripada Indonesia. Jangan sesekali mengulangi kesilapan yang sama dengan mementingkan kelangsungan ahli politik, sedangkan rakyat di bawah terus terhimpit dengan isu gaji tidak seimbang, harga barang melambung dan bebanan cukai.
Parti Pembangkang Malaysia menegaskan, sebarang usaha untuk menaikkan elaun Ahli Parlimen atau Menteri dalam keadaan ekonomi yang masih rapuh ini adalah pengkhianatan terhadap mandat rakyat. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001