4 penjenayah didakwa bunuh anggota polis Kedah

ALOR SETAR – Empat penjenayah didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah pada 7 Ogos lalu.

Berita Harian melaporkan, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan ke atas Muhamad Badry Muhamad Azami, 24; Mohamad Hafiz Khazli, 26; Badri Iman Abdul Nasir, 25; dan Mohd Saifuan Mohd Noor, 34, dibacakan di hadapan Majistret Eliana Ismail.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama didakwa membunuh anggota JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Allahyarham Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan, 35.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 3.43 petang, 7 Ogos lalu, di hadapan sebuah rumah di Taman Golf, di sini.

Berikutan itu, suspek didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara atau maksimum 40 tahun.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Kedah, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 23 November ini sebagai tarikh sebutan semula dan pemindahan kes bagi sebutan semula di Mahkamah Tinggi.

Media sebelum ini melaporkan, seorang anggota polis maut dirempuh penjenayah ketika sedang menjalankan tugas menahan suspek kes pecah rumah yang cuba melarikan diriberhampiran Taman Golf di sini, pada 7 Ogos lalu.

Mangsa dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Kedah, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dilanggar kenderaan dipandu suspek.

Semua suspek, berusia antara 24 hingga 26 tahun, dipercayai berasal dari Johor dan hasil semakan mendapati salah seorang suspek mempunyai 77 rekod lampau, kebanyakannya membabitkan kes pecah rumah dan curi kenderaan. – BH

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *