SHAH ALAM – Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Kedah sentiasa memberi sokongan dalam himpunan solidariti “Justice for Zara”, termasuk yang diadakan di Sungai Petani semalam.
Ketua Penerangannya, Azrol Mansor berkata, himpunan yang mengumpulkan pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan latar belakang itu sebagai sokongan keadilan rakyat atas kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Katanya, sambutan di luar jangkaan itu cukup jelas memberikan isyarat kepada kerajaan supaya mengambil tindakan serius terhadap pelaku yang menyebabkan kemarahan rakyat di seluruh negara.
“Kehilangan nyawa insan yang tidak berdosa tidak boleh dipandang ringan. Perkasa Kedah juga menggesa kerajaan menggubal satu rang undang-undang khas bagi membanteras aktiviti buli dengan memperuntukkan hukuman lebih berat.
“Dalam masa sama, Perkasa Kedah berharap kerajaan memberi keadilan sewajarnya kepada keluarga Allahyarham Zara Qairina sehingga pelaku terlibat dibawa ke muka pengadilan.
“Kita juga berharap insiden yang menimpa pelajar tingkatan satu SMKA Tun Datu Mustapha itu akan menjadi kisah yang terakhir dalam sejarah buli di Malaysia,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001