KUALA LUMPUR – Laporan terkini mengesahkan Pasukan Pemerhati Sementara – Interim Observer Team (IOT) diketuai Atase Pertahanan Malaysia sedang menjalankan pemeriksaan keselamatan di sempadan Kemboja bagi memastikan pelaksanaan gencatan senjata negara itu dengan Thailand berjalan lancar.
IOT diketuai Atase Pertahanan Malaysia ke Kemboja, Kolonel Nazlee Abdul Rahman melawat Pos Pemeriksaan Sempadan Boeung Trakoun, di wilayah Banteay Meanchey untuk meninjau keadaan keselamatan di sana.
Pasukan ini melibatkan Atase pertahanan dari tujuh negara ASEAN, termasuk Malaysia, Brunei, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina dan Vietnam.
Ia adalah sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata yang dicapai pada Mesyuarat Luar Biasa Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) di Kuala Lumpur 7 Ogos lalu.
Malaysia bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut berperanan sebagai Pengerusi ASEAN dan fasilitator rundingan.
Objektif utama adalah untuk memantau pelaksanaan perjanjian gencatan senjata, memastikan tiada provokasi, pergerakan ketenteraan atau pelanggaran lain yang boleh mencetuskan semula konflik.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Hal Ehwal Luar dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja, Chum Sounry menggesa Malaysia membantu proses pemantauan bagi mengelak sebarang peningkatan konflik.
“Kemboja menggesa Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN ketika ini dan fasilitator bersama gencatan senjata supaya segera mewujudkan mekanisme pemantauan yang kukuh dan berkecuali bagi mengelakkan peningkatan konflik serta melindungi orang awam dan anggota tentera,” katanya pada sidang media awal hari ini.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001