Saman Cabar Kesahihan Ahli Parlimen, PMX tiada asas undang-undang untuk dibicarakan

KUALA LUMPUR – Saman untuk mencabar kesahihan Ahli Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada PRU lalu dalam usaha menyingkirkannya dari kerusi sah Perdana Menteri adalah satu tindakan tiada asas undang-undang untuk dibicarakan (non justiciable).

Ini kerana, apa-apa cabaran terhadap ketidaksahihan seseorang calon pilihan raya hendaklah dibuat melalui Petisyen Pilihanraya, yang mana tempoh had masa telah berakhir iaitu 21 hari dari tarikh warta.

Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil berkata, mahkamah pada peringkat ini tiada bidang kuasa untuk mendengar saman tersebut kerana peruntukan khusus undang-undang mengatasi undang-undang umum (generalia specialibus non derogant).

Selain itu, katanya, pengampunan penuh telah diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong kepada Anwar, yang mana kemenangan beliau dalam PRK Parlimen Tambun tidak langsung dicabar dan kekal sah.

“Menjadi prinsip undang-undang mantap (trite law) bahawa seseorang tidak boleh menyangkal apa yang dibuat terdahulu (the principle of approbate and reprobate),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Berkaitan isu pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri, kata Muhammad Faiz, ia adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, pelantikan itu tidak boleh dicabar di mahkamah sepertimana diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Datuk Seri Nizar Jamaluddin.

“Ini adalah pandangan undang-undang adil yang boleh saya berikan bagi meredakan kebimbangan orang ramai.

“Rakyat diminta untuk memberikan fokus membantu kerajaan Madani pimpinan Anwar untuk memulihkan ekonomi negara dan tidak dimanipulasi oleh pembangkang yang terdesak untuk mengganggu gugat kestabilan politik dengan menunggang isu ini.

“Saya yakin pada proses undang-undang yang adil untuk membicarakan saman tersebut,” katanya. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *