Dakwaan Kursus Dakwah Harmoni ancam akidah tidak bersandar fakta sebenar - Mohd Na'im

JAKIM, JAWI anjur solat hajat, baca Yasin untuk Allahyarham Zara Qairina esok

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan mengadakan solat hajat dan bacaan Yasin untuk Allahyarham Zara Qairina Mahathir di masjid serta surau seliaan masing-masing, malam esok (Khamis).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, penganjuran solat hajat itu sebagai tanda solidariti, doa dan ingatan tulus umat Islam kepada Allahyarham Zara Qairina.

Katanya, ia juga bagi memohon agar Allah SWT mencucuri rahmat dan mengampuni segala dosa serta menempatkan Zara Qairina dalam kalangan orang beriman.

“Saya menyeru seluruh umat Islam khususnya di Wilayah-Wilayah Persekutuan untuk bersama-sama hadir dan menyertai majlis solat hajat dan bacaan Yasin di masjid atau surau masing-masing.

“Semoga doa yang dipanjatkan secara berjemaah ini memberi ketenangan kepada ahli keluarga dan menjadi bekalan pahala buat arwah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pelajar Tingkatan Satu SMKA Tun Datu Mustapha itu meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai selepas dijumpai tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah pada 16 Julai lalu.

Kematiannya mencetuskan kemarahan rakyat apabila jenazahnya dikebumikan tanpa menjalani prosedur bedah siasat, sehingga Jabatan Peguam Negara (AGC) Jumaat lalu mengarahkan kubur Allahyarham Zara Qairina digali semula.

AGC berpendapat, terdapat keperluan untuk siasatan lanjut oleh Polis Diraja Malaysia demi memastikan siasatan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Berikutan itu, pada 9 Ogos, kubur remaja berkenaan digali semula dari Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang, dan jenazah dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I untuk proses bedah siasat sebelum selamat dikebumikan semula awal pagi semalam di tanah perkuburan sama. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *