KUALA LUMPUR – Kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mendakwa Malaysia membuat perjanjian perdagangan tidak seimbang dengan Amerika Syarikat (AS) mengundang reaksi tegas daripada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Isu ini mencerminkan ketegangan antara naratif politik dan realiti ekonomi yang sedang dihadapi negara.
Dalam responsnya, Tengku Zafrul menegaskan, keputusan kerajaan adalah hasil pertimbangan krisis yang matang.
Katanya, dalam konteks perang tarif global yang diwarisi sejak era Presiden Donald Trump, Malaysia tidak mempunyai banyak pilihan melainkan menyesuaikan dasar demi melindungi sektor eksport utama, khusus sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang bernilai lebih RM198 bilion dan menyokong lebih 100,000 pekerjaan.
“Ini bukan soal ‘gembira’, Tun, tetapi soal menyelamatkan periuk nasi rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau juga menyangkal angka yang disebut Dr. Mahathir dengan menyatakan hanya 60.4 peratus, bukan 100 peratus seperti yang didakwa.
“Dakwaan Malaysia memberi semua kelebihan kepada AS tanpa pulangan nyata adalah tidak benar.
“Begitu juga isu nadir bumi, ia tidak wujud perjanjian bekalan kepada AS. Ini tuduhan paling serius mungkin berkait isu nadir bumi,” katanya.
Dr. Mahathir mendakwa, kerajaan bersetuju membekalkan REE kepada AS, namun Tengku Zafrul menjelaskan tiada sebarang perjanjian, sama ada lisan atau bertulis membabitkan eksport REE kepada mana-mana negara.
Malah, kata beliau, larangan eksport bahan mentah nadir bumi telah pun dikuatkuasakan sejak 1 Januari 2024.
Langkah itu, katanya, selari dengan matlamat Malaysia untuk membina ekosistem industri berteknologi tinggi yang memproses dan mengekstrak nilai maksimum dari sumber tersebut, yang dijangka menjana kira-kira RM9.5 bilion kepada KDNK menjelang akhir 2025.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001