Jurujual bebas pertuduhan menyebabkan kematian pelajar dua tahun lalu

MACHANG – Seorang penjual pakaian dilepaskan dan dibebaskan dari pertuduhan kerana menyebabkan kematian seorang pelajar tingkatan tiga, dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohamad Zakiran Mohd Zain, 31, sebelum ini dituduh di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana disyaki memandu secara cuai di Jalan Pulai Chondong, Machang dan menyebabkan kematian seorang pembonceng motosikal, Rifqi Danish Arman Rosmaidi, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Samad, Machang pada 6 April 2023.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dijatuhkan hukuman penjara mandatori sehingga 10 tahun dan denda sehingga RM50,000.

Di akhir kes pendakwaan, Peguambela tertuduh menghujahkan bahawa pihak polis telah gagal untuk menyiasat pemandu kenderaan MPV yang telah menghalang laluan tertuduh serta keputusan siasatan polis yang membuat ukuran jalan hanya berdasarkan anggaran, bukan ukuran sebenar.

Dalam penghakiman ringkasnya, Majistret Amal Razim Alias bersetuju dengan hujahan peguambela bahawa kematian mangsa adalah disebabkan oleh sumbangan kecuaian oleh penunggang motosikal sendiri yang menunggang secara laju dan keadaan motosikal yang tidak memiliki brek.

Selain itu, keterangan Pegawai Perubatan sebelum ini menyatakan kecederaan utama menyebabkan kematian mangsa ialah kecederaan pada cervical-3 (c3) yang sepatutnya dilindungi oleh topi keledar, yang mana mangsa ketika kemalangan tidak memakai topi keledar.

Dua elemen utama tidak berjaya dibuktikan oleh Pendakwa Raya iaitu elemen pemanduan berbahaya serta Pendakwa Raya gagal membuktikan tertuduh yang menyebabkan kematian mangsa.

Tertuduh diwakili oleh peguam Nik Saiful Adli Burhan dan Che Muhammad Redzuan Jihad, manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Akmal Mohd Bakri. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *