Unjuran menaik KDNK oleh IMF cermin daya tahan ekonomi Malaysia – Penganalisis

KUALA LUMPUR: Unjuran meningkat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebanyak 0.4 mata peratusan kepada 4.5 peratus bagi 2025 jelas menunjukkan keyakinan terhadap daya tahan ekonomi negara di tengah-tengah persekitaran global yang tidak menentu, demikian menurut penganalisis.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, berkata unjuran terkini itu sudah pasti akan mempengaruhi keyakinan pelabur.

Menurutnya, pihaknya juga telah membuat semakan semua unjuran ekonomi negara pada Mei lalu kepada 4.5 peratus, yang turut sejajar dengan unjuran terkini IMF itu.

Justeru, katanya, ia bermakna unjuran ekonomi itu adalah konsensus dan bukan hanya pihaknya yang menjangkakan paras itu.

“Kami melihat pertumbuhan ekonomi untuk 2025 masih stabil, kerana menurut analisis kami, kesan tarif hanya akan memberi kesan kepada KDNK negara 12 hingga 15 bulan selepas tarif dimuktamadkan,” katanya kepada BH.

Menerusi World Economic Outlook edisi Julai 2025, IMF menaikkan unjuran pertumbuhan KDNK kepada 4.5 peratus bagi 2025, meningkat 0.4 mata peratusan daripada anggaran April.

Badan kewangan antarabangsa itu juga menaikkan unjuran bagi 2026 sebanyak 0.2 mata kepada 4.0 peratus, dipacu oleh prospek yang bertambah baik dalam kalangan ekonomi membangun dan sedang pesat membangun.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata laporan IMF jelas menunjukkan keyakinan terhadap ekonomi Malaysia yang mempunyai daya tahan yang kukuh dan pelbagai meskipun berdepan cabaran global.

Beliau berkata, Malaysia terus merekodkan lebihan dagangan walaupun dalam suasana perdagangan global yang sederhana, menunjukkan kemampuan sektor pembuatan negara dan kepentingan dalam rantaian nilai global.

Katanya, dasar fiskal kerajaan dan dasar monetari negara bergerak sejajar dalam mengukuhkan ekonomi domestik supaya terus mampan melalui perbelanjaan mengembang dan kecairan tunai yang tinggi dan lebih murah.

“Usaha untuk menarik pelaburan asing terus dilaksanakan kerajaan terutama dalam sektor bernilai dan berteknologi tinggi.

“Pelan dan tindakan yang jelas oleh kerajaan ini amat membantu dalam meneruskan momentum menarik pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) yang berpanjangan,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *