Tarif AS: Pembelian pesawat Boeing guna pertimbangan ekonomi, memanfaatkan Malaysia – Penganalisis

KUALA LUMPUR: Keputusan Malaysia untuk menandatangani perjanjian pembelian pesawat Boeing dibuat berlandaskan pertimbangan ekonomi dan strategi jangka panjang yang mampan, demikian menurut penganalisis.

Perunding Kanan Global Asia Consulting, Samirul Ariff Othman, berkata berbeza dengan tanggapan umum, pembelian itu bukanlah satu transaksi pukal yang dilakukan serta-merta, sebaliknya, perjanjian rangka kerja yang membabitkan penghantaran pesawat secara berperingkat dalam tempoh 10 hingga 15 tahun.

“Perjanjian ini membabitkan pelbagai jenis pesawat, termasuk Boeing 737 MAX dan 787 Dreamliner, yang akan digunakan oleh syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines. Turut dipertimbangkan ialah penglibatan syarikat pajakan pesawat yang berpangkalan di Malaysia.

“Langkah ini membolehkan Malaysia ‘mengunci’ harga pasaran semasa, sekali gus memberi kelebihan dari sudut logistik dan perancangan kewangan kepada syarikat penerbangan tempatan, terutama dalam pasaran yang semakin kompetitif dengan tempoh penghantaran pesawat yang kian panjang.

“Pada masa sama, perjanjian ini disertai dengan pakej kerjasama timbal balik (offset programme) yang memberikan nilai tambah kepada ekonomi negara. Boeing bersetuju untuk melabur semula dalam bentuk latihan dan penyelenggaraan (MRO) di Subang dan Sepang, penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama universiti tempatan, serta penubuhan pusat kejuruteraan serantau,” katanya kepada BH.

Terdahulu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, menegaskan bahawa komitmen Malaysia untuk membeli 30 lagi pesawat Boeing dari AS bernilai AS$9.5 bilion sebagai salah satu syarat untuk mengurangkan tarif AS ke atas import dari negara ini adalah keputusan perniagaan strategik Malaysia Aviation Group (MAG) dan dibiayai menggunakan dana syarikat, bukan wang cukai rakyat.

Beliau berkata, rancangan pembelian itu telah diumumkan seawal Mac lalu, sebelum Presiden Donald Trump mengumumkan tarif lagi.

Penganalisis bebas, Nazri Hamdan, pula berkata, dari sudut strategik, perjanjian itu bukan sekadar pembelian pesawat tetapi sebahagian daripada perjanjian timbal balas perdagangan antara Malaysia dan AS.

“Malaysia membeli pesawat Boeing, tetapi dalam masa sama mendapat manfaat seperti pengurangan tarif eksport, dari 25 peratus ke 19 peratus, peluang pemindahan teknologi, dan perjanjian timbal balik yang boleh memaksa Boeing melabur semula di Malaysia melalui subkontrak, MRO atau latihan tenaga kerja.

“Sebagai contoh, jika Boeing bersetuju memberi semula kontrak bernilai 20 peratus (AS$3.8 bilion atau RM17.8 bilion) kepada syarikat tempatan, ini sudah menjadi pemangkin kepada ekosistem aeroangkasa negara dan membuka peluang pekerjaan bernilai tinggi khususnya di Selangor, Pulau Pinang dan Johor.

“Ini menjadikan pembelian Boeing bukan satu bentuk ‘kerugian negara’, tetapi sebenarnya pelaburan strategik yang boleh mendatangkan pulangan berganda dalam bentuk akses pasaran, peluang pekerjaan, dan limpahan ekonomi, dengan syarat Malaysia berunding bijak untuk pastikan kontrak ini tidak hanya menguntungkan pihak luar,” katanya.

AS sebelum ini mengenakan tarif sebanyak 25 peratus ke atas import dari Malaysia berkuat kuasa 1 Ogos, namun kadar itu dikurangkan kepada 19 peratus selepas beberapa pusingan rundingan.

Pada Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa MAG telah membuat tempahan bagi 30 pesawat Boeing 737, yang dijadualkan dihantar kepada syarikat itu menjelang 2030. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *