YANGON: Junta tentera Myanmar menamatkan darurat pada Khamis dan meningkatkan persiapan untuk mengadakan pilihan raya umum (PRU) Disember ini.
Kumpulan pembangkang berikrar untuk memboikot PRU itu dan pemantau berkata tindakan itu akan dimanfaatkan junta tentera untuk memperkukuhkan cengkaman kuasa mereka.
Tentera mengisytiharkan darurat pada Februari 2021 selepas menggulingkan kerajaan awam pemimpin demokrasi Aung San Suu Kyi dan mencetuskan perang saudara pelbagai pihak yang telah meragut ribuan nyawa.
Perintah itu memberikan ketua junta Min Aung Hlaing kuasa tertinggi ke atas badan perundangan, eksekutif dan kehakiman.
Beliau baru-baru ini menyatakan PRU adalah jalan keluar kepada konflik yang berlarutan sejak 2021.
Kumpulan pembangkang termasuk bekas penggubal undang-undang yang digulingkan dalam rampasan kuasa, berjanji untuk menolak PRU itu.
Pakar PBB bulan lalu turut menolaknya dan melabelkan PRU itu sebagai ‘penipuan’ yang dibuat untuk membolehkan pemerintahan berterusan tentera.
Junta merampas kuasa dengan membuat dakwaan penipuan berlaku dalam PRU 2020 yang dimenangi oleh Liga Kebangsaan untuk Demokrasi (NLD) dipimpin oleh Suu Kyi.
Suu Kyi kemudian dipenjarakan bersama pemimpin tertinggi NLD yang lain.
Perintah yang ditandatangani oleh Aung Hlaing bagi membatalkan darurat itu turut merangkumi penyerahan kuasanya sebagai ketua angkatan tentera dan kembali kepada ketua negara.
Jawatan ketua negara itu tetap disandang Aung Hlaing sebagai pemangku presiden negara.
“Kami telah pun melepasi bab pertama, sekarang kita mulakan bab kedua,” kata Aung Hlaing dalam ucapan di Naypyidaw, yang dilaporkan akhbar rasmi The Global New Light of Myanmar pada Khamis.
Tiada tarikh tepat ditetapkan untuk PRU itu, tetapi Aung Hlaing mengesahkan ia akan berlangsung pada Disember.
“Disebabkan keadaan keselamatan dalam negara, kita juga akan mengadakan PRU akan datang secara berperingkat bergantung kepada keselamatan dan pengurusan,” katanya.
Di New York, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, menyelar rancangan untuk mengadakan PRU ketika konflik berterusan dan pelanggaran hak asasi manusia serta ancaman keselamatan berleluasa.
Guterres menyeru keganasan dihentikan, termasuk pengeboman udara ke atas orang awam, dan pekerja bantuan diberi akses penuh untuk menangani keperluan kemanusiaan yang amat kritikal, diburukkan lagi susulan gempa bumi pada 28 Mac lalu.
Jurucakap Junta, Zaw Min Tun berkata, keadaan darurat dimansuhkan hari ini bagi membolehkan negara mengadakan PRU, di jalan menuju demokrasi berbilang parti.
Bagaimanapun, junta kemudian mengumumkan keadaan darurat selama 90 hari di 63 perbandaran, kebanyakannya zon konflik atau kawasan di bawah kawalan kumpulan anti-junta. – AFP