KUALA LUMPUR – Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan mekanisme yang jelas untuk menangani salah laku hakim, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Kata beliau, Perkara 125(3) dan (4) Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan tribunal khas bagi menyiasat dakwaan salah laku dan hakim yang disiasat boleh digantung tugas atas nasihat Perdana Menteri setelah berbincang dengan Ketua Hakim Negara
Selain itu, katanya, Perkara 125(3A) pula memperuntukkan kuasa kepada Ketua Hakim Negara untuk merujuk sebarang pelanggaran etika kepada Jawatankuasa Etika Kehakiman yang ditubuhkan di bawah Akta Jawatankuasa Etika Hakim 2010 (Akta 703).
“Perkara 125(38) membolehkan penetapan kod etika bertulis bagi menetapkan piawaian tinggi kelakuan dan integriti hakim, Judges’ Code of Ethies 2009 (P.U. (B) 201/2009), yang telah berkuat kuasa sejak 1 Julai 2009, turut menjadi rujukan penting untuk menetapkan standard tingkah laku hakim secara jelas dan berlandaskan undang-undang.
“Kerangka etika ini bertujuan bagi memastikan badan kehakiman bebas daripada pengaruh politik atau luaran, sekali gus menjamin keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
“Proses ini bermakna Badan Eksekutif dan Badan Legislatif tidak boleh campur tangan dalam isu etika kehakiman dan kebebasan ini penting untuk mengekalkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Berhubung dengan ‘Walk to Safeguard Judicial Independence’ oleh Badan Peguam Malaysia, menurut Azalina, kerajaan mengambil maklum akan kebimbangan dibangkitkan dan menegaskan komitmen untuk menangani isu ini secara bertanggungjawab dan telus, berpandukan Perlembagaan Persekutuan.
Dalam hal ini, ujar beliau, sebagai usaha meningkatkan ketelusan dalam prosedur pelantikan Hakim Mahkamah Atasan, pada minggu lalu kerajaan telah mengumumkan pelaksanaan Kajian Perbandingan Sistem Pelantikan Kehakiman yang dilaksanakan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, (BHEUU JPM) secara bersama dengan Jawatankuasa Pilihan Khas dari Dewan Negara dan Dewan Rakyat.
“Kajian ini untuk memberikan kejelasan yang lebih baik mengenai peranan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) dan pada masa sama menangani sebahagian isu yang turut dibangkitkan oleh Badan Peguam Malaysia.
“Kerajaan sentiasa terbuka kepada pandangan semua pihak termasuk Badan Peguam Malaysia, yang juga akan dijemput menyertai kajian ini bagi memastikan sistem pelantikan hakim yang lebih telus, berintegriti dan diyakini rakyat.
“Selain itu, isu-isu yang dibangkitkan oleh Badan Peguam Malaysia wajar dilihat selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 [Akta 695] dan undang-undang lain yang berkuat kuasa,” katanya.
Justeru, kata Azalina, kerajaan menyeru agar semua pihak untuk terus menghormati peranan dan proses perlembagaan yang menjadi teras kepada kebebasan badan kehakiman negara.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001