LONDON – Novak Djokovic mengatasi Flavio Cobolli untuk mara ke separuh akhir Wimbledon buat kali ke-14 – rekod tertinggi untuk pemain lelaki di kejohanan itu – dan bakal bertemu pemain nombor satu dunia, Jannik Sinner.
Pemain Serbia itu, yang memburu mahkota perseorangan Grand Slam ke-25, menewaskan pilihan ke-22 dari Itali itu 6-7 (6/8), 6-2, 7-5, 6-4 di Centre Court.
Juara tujuh kali itu diasak hebat oleh Cobolli, pemain 23 tahun yang belum pernah mara melepasi pusingan ketiga di kejohanan major.
Djokovic berkata, Wimbledon adalah kejohanan paling istimewa dalam sukan itu.
“Sudah tentu, ia amat bermakna buat saya untuk beraksi di peringkat-peringkat akhir Wimbledon pada usia 38 tahun.
“Terima kasih kerana bersorak untuk usia saya. Saya amat menghargainya. Ia sangat indah, membuatkan saya rasa sangat muda.
“Dan saya rasa satu perkara yang membuatkan saya rasa sangat muda ialah bersaing dengan pemain-pemain muda, seperti Cobolli hari ini – entah berapa tahun dia lebih muda daripada saya,” kata Djokovic.
Djokovic mara ke final Wimbledon sejak tahun 2018, manakala Cobolli tampil berbekalkan gelaran di Bucharest dan Hamburg tahun ini.
Djokovic kini mendahului rekod perseorangan lelaki di Wimbledon dengan kemaraan ke separuh akhir paling banyak, mengatasi juara lapan kali, Roger Federer yang mara ke separuh akhir sebanyak 13 kali.
Dia turut mencapai separuh akhir Grand Slam ke-52 dalam kariernya, melebarkan rekod sepanjang zaman dalam kategori lelaki.
Djokovic kini hanya memerlukan dua kemenangan lagi untuk meninggalkan Margaret Court dalam rekod kejuaraan Grand Slam bagi perseorangan lelaki atau wanita.
Jika berjaya mara ke final dan menang, Djokovic juga akan menyamai rekod lapan gelaran Federer di All England Club.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001