UPSI Bukti Kepakaran Lahirkan Guru Cemerlang di Hari Guru Kebangsaan 2025

Oleh: Bazli Razak

KUCHING – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sekali lagi membuktikan keunggulannya sebagai institusi peneraju dalam melahirkan pendidik berkualiti apabila seramai 12 alumninya meraih pelbagai anugerah berprestij sempena Sambutan Hari Guru peringkat Kebangsaan 2025 baru-baru ini.

Pengiktirafan yang diterima dalam tiga kategori utama iaitu Anugerah Guru Inovatif, Anugerah Ikon Guru dan Anugerah Guru Berwibawa menegaskan kedudukan UPSI sebagai institusi pakar yang konsisten menghasilkan guru berdaya saing dan berimpak tinggi di peringkat nasional.

Pengarah Pusat Alumni UPSI, Dr. Omar Firdaus Mohd Said berkata, kejayaan luar biasa alumni UPSI itu adalah manifestasi kepada kekuatan tradisi latihan guru yang telah dibina sejak lebih seabad lalu.

“UPSI bukan sekadar melatih guru, tetapi membentuk pemimpin pendidikan yang mempunyai nilai integriti, profesionalisme dan semangat inovatif.

Penerima Anugerah Guru Inovatif (Individu Lepas Menengah) tempat pertama, Dr. Oh Zi Jian, menyerlah dengan inovasi pengajaran STEM berasaskan kecerdasan buatan (AI), manakala Basirah Mahamad@Abu Bakar dan Zamzuriani Kassim masing-masing memenangi tempat pertama dalam kategori Individu Prasekolah Swasta dan Prasekolah, hasil pendekatan pedagogi aktif dan kreatif.

Sementara itu, Zulazri Yusof diumumkan pemenang tempat pertama Anugerah Ikon Guru Seni Persembahan, diikuti Mohamad Ridzwan Ali dan Noriham Ab. Wahab masing-masing meraih tempat pertama dan kedua bagi subkategori Guru Bimbingan dan Kaunseling.

Muhammad Amin Abu (Guru Muda Berprestasi) dan Norafif Mohd Amin (Guru Sukan) pula meraih tempat ketiga dalam kategori masing-masing.

“Kejayaan ini membuktikan UPSI adalah pakar dalam melahirkan pendidik berkualiti tinggi.

Tambah beliau, pengiktirafan itu membuktikan model pendidikan dan latihan guru di UPSI kekal relevan serta berkesan dalam menghadapi cabaran pendidikan masa kini dan masa depan.

“Alumni kami kini menjadi wajah utama reformasi pendidikan negara. Mereka bukan sahaja cemerlang di bilik darjah, tetapi juga menjadi pencetus perubahan di peringkat sistemik dan komuniti,” ujarnya.

Kecemerlangan UPSI dalam melahirkan guru berwibawa turut terserlah menerusi kejayaan Siti Munirah Mohamed (Pensyarah Berwibawa) dan Mohd Zulkhairi Umar (Guru Orang Asli/Peribumi Berwibawa) meraih tempat pertama, diikuti Dr. Hairul Faiezi Lokman tempat kedua dan Mohd Reduan Daud tempat ketiga dalam kategori Pendidikan Khas.

Sambutan Hari Guru 2025 bertemakan ‘Guru Pemacu Reformasi Pendidikan’ menyaksikan penyampaian anugerah oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), yang dihadiri lebih 5,000 warga pendidik dari seluruh negara. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *