Prasarana lancar vendor ESG, Perkasa 5,000 rakan niaga

PETALING JAYA – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) secara rasminya melancarkan Vendor ESG Hub, sebuah platform digital komprehensif yang dibangunkan untuk menyokong dan memperkasa rakan niaganya dalam melaksanakan amalan kelestarian dan prinsip ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) ke dalam operasi perniagaan mereka.

Pelancaran ini merupakan kesinambungan kepada pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Prasarana dan UN Global Compact Network Malaysia & Brunei (UNGCMYB) yang ditandatangani pada 16 Mei lalu.

Ia bertujuan memperkukuh vendor dalam rantaian bekalan Prasarana ke arah pematuhan standard ESG global.

Perasmian juga diadakan sempena HSSE & SD Week 2025, minggu kesedaran Prasarana yang memberi tumpuan kepada aspek Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti, Alam Sekitar dan Pembangunan Mampan.

Portal Vendor ESG Hub menawarkan pelbagai sumber praktikal, panduan, dan alat digital yang direka khusus untuk membantu vendor memahami, menilai serta melaksanakan amalan ESG secara progresif dan berstruktur.

Platform ini dibahagikan kepada empat segmen utama:

• Menilai (Assess) – Menampilkan alat penilaian digital untuk mengukur tahap kematangan ESG syarikat. Vendor boleh mengetahui kedudukan semasa dan menjejak kemajuan mereka secara berterusan.

• Inspirasi (Inspire) – Kompilasi kajian kes dan kisah kejayaan yang menjadi inspirasi kepada vendor dalam membentuk serta memperkukuh inisiatif kelestarian mereka.

• Belajar (Learn) – Sumber pendidikan dan bahan rujukan untuk memahami konsep asas ESG serta strategi yang boleh dilaksanakan secara berkesan.

• Buat (Do) – Panduan praktikal dan alat sokongan untuk membantu vendor mengambil tindakan dan mengintegrasi ESG ke dalam operasi serta tadbir urus perniagaan mereka.

Hampir 5,000 vendor berdaftar dengan Prasarana kini berpeluang mengakses program latihan yang disasarkan, membolehkan mereka meningkatkan keupayaan dan kesiapsiagaan dalam menghadapi keperluan perniagaan masa hadapan lebih mampan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah berkata, pelancaran Vendor ESG Hub itu memperkukuh lagi komitmen pihaknya untuk bergerak seiring bersama rakan niaga ke arah pembangunan yang mampan.

“Ia mencerminkan peranan penting dimainkan oleh vendor Prasarana dalam menyokong matlamat ESG. Melalui platform ini, kami mahu memastikan para vendor bersedia menghadapi cabaran perniagaan masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif UN Global Compact Network Malaysia & Brunei (UNGCMYB), Faroze Nadar turut menyatakan sokongan terhadap inisiatif itu.

“Pelancaran Prasarana Vendor ESG Hub merupakan satu langkah signifikan yang menonjolkan kepimpinan dan komitmennya menerajui agenda kelestarian dalam sektor pengangkutan awam.

“Inisiatif strategik ini bukan sahaja memperkasakan vendor, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk meningkatkan kecekapan dan daya saing, malah membuka jalan kepada pertumbuhan lebih mampan dan bertanggungjawab.

“Kami di UNGCMYB menyambut baik pendekatan inklusif ini yang memberikan akses kepada semua perniagaan untuk mengadaptasi prinsip ESG. Ini adalah bukti bagaimana inovasi digital boleh menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi hijau dan pengurusan rantaian bekalan yang lestari di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, vendor ESG Hub itu boleh diakses oleh semua vendor berdaftar Prasarana melalui pautan https://www.prasaranavendoresghub.com/.

Inisiatif itu menandakan satu lagi langkah strategik dalam usaha berterusan Prasarana untuk menjadi peneraju transformasi kelestarian dalam sektor pengangkutan awam negara. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *