MIAMI GARDENS – Tandukan minit ke-54 Gonzalo Garcia sudah cukup buat Real Madrid untuk menewaskan Juventus 1-0 di Stadium Hard Rock dan menempah tempat di suku akhir Piala Dunia Kelab.
Gergasi Sepanyol itu akan berdepan pemenang antara Borussia Dortmund dan Monterrey yang akan beraksi pagi ini.
Madrid kendalian Xabi Alonso turut menyaksikan kepulangan Kylian Mbappe, yang dimasukkan pada minit ke-68 untuk penampilan pertamanya di kejohanan ittu selepas dibelenggu masalah kesihatan.
Juventus kendalian Igor Tudor, yang tewas 5-2 kepada Manchester City pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan, bermula baik dan dapat mengimbangi permainan Real.
Garcia akhirnya memecah kebuntuan selepas menanduk masuk hantaran Trent Alexander-Arnold untuk gol ketiganya dalam empat perlawanan di kejohanan ini.
“Saya rasa dia akan lebih baik, dan dari sekarang hingga ke suku akhir pada Sabtu, dia akan menjadi lebih baik.
“Kami akan terus memantaunya. Saya bercakap dengannya setiap hari, saya yakin dia akan lebih bersedia untuk suku akhir,” kata Alonso berkenaan Mbappe.
Alonso turut berpuas hati melihat persembahan pasukannya yang berusaha keras mendapatkan kemenangan di babak kedua.
“Kami perlu bersabar, matang dalam permainan. Kami tidak menjaringkan gol kedua untuk jurang lebih selesa. Tetapi ini adalah perlawanan kalah mati, dan untuk mara ke pusingan seterusnya,” katanya.
Sementara itu Tudor berkata, pasukannya tampak semakin tidak bermaya memasuki babak kedua perlawanan.
“Di akhirnya, 10 daripada mereka meminta untuk dikeluarkan, jelas sekali ia tidak boleh dilakukan tetapi mereka keletihan.
“Tempo permainan memenatkan mereka, tetapi faktor cuaca panas (30 darjah Celcius) dan kelembapan (70 peratus) turut memainkan peranan,” kata Tudor. – AFP
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001