PUTRAJAYA – Sekretariat Orang Melayu menyambut baik keputusan sebulat suara panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, membatalkan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA 2012), iaitu peruntukan menghukum penganjur kerana gagal memaklumkan notis lima hari kepada polis, sebagai kesalahan jenayah.
Ketua Setiausahanya, Datuk Wira Marzuki Yahya berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan itu merupakan satu kemenangan penting kepada rakyat Malaysia mengikut Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak untuk rakyat berhimpun secara aman tanpa tekanan undang-undang yang bersifat menghukum.
Kata beliau, Seksyen 9(5) selama ini telah digunakan pihak berkuasa dan kerajaan khususnya untuk mendakwa pihak penganjur, walaupun perhimpunan aman itu tidak mencetuskan huru hara, keganasan atau mengganggu ketenteraman awam.
“Keputusan ini juga menegaskan peranan institusi kehakiman sebagai pelindung hak Perlembagaan dan semak imbang terhadap undang-undang yang disifatkan sebagai menindas hak rakyat untuk bersuara.
“Kami menggesa Kerajaan Madani memansuhkan atau membuat pindaan mana-mana peruntukan lain dalam Akta Perhimpunan Aman yang jelas bercanggah dengan Perlembagaan dalam Mesyuarat Khas Penggal Keempat Parlimen Kelima Belas 2025 yang mula bersidang pada 21 Julai hingga 28 Ogos ini.
“Gesaan kami juga mencakupi pelaksanaan segera moratorium terhadap semua prosiding atau pertuduhan sedia ada ke atas mereka yang ditahan dan didakwa di bawah Seksyen 9(5),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Serentak itu, beliau menggesa kerajaan mengadakan dialog terbuka dengan rakyat atau wakil NGO bagi merangka undang-undang baharu yang lebih demokratik dan mesra rakyat selaras dengan hak asasi.
“Kita yakin, gesaan ini membuka ruang baharu ke arah demokrasi yang lebih inklusif dan matang, selain menyatakan kebebasan berhimpun adalah asas penting dalam sistem pentadbiran negara serta tidak wajar penganjuran himpunan aman dibelenggu oleh undang-undang yang melampaui batas kawalan yang munasabah.
“Kita sentiasa berdiri teguh bersama rakyat dalam mempertahankan hak untuk bersuara, berhimpun dan berpartisipasi secara aman dalam proses demokrasi kerana tujuan asal undang-undang di bawah APA 2012 ini adalah untuk kawalan keselamatan awam, bukan mengenakan larangan mutlak.
“Bahkan, seksyen itu terlalu keras kerana menghukum walaupun perhimpunan aman berlangsung tanpa gangguan, sedangkan hak berhimpun diberi peruntukan di bawah Perkara 10, dan undang-undang itu mestilah dilaksanakan secara adil serta berimbang,” ujarnya.
Kata Marzuki, sebelum ini, pihaknya mengkritik pelaksanaan APA 2012 kerana ianya bertindak keras terhadap hak untuk membuat bantahan, yang mana pihak penganjur dan peserta sepatutnya dilindungi.
Justeru, katanya, Sekretariat Orang Melayu mencadangkan kerajaan agar menegakkan hak perlembagaan rakyat; menghapuskan undang-undang bersifat menghukum; mewujudkan ruang demokrasi yang sihat; menyeru reformasi undang-undang menyeluruh; dan eningkatkan kepercayaan terhadap institusi kehakiman.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001