TEL AVIV – Israel kini berada dalam kedudukan paling genting sejak perang di Genting Gaza meletus pada 7 Oktober 2023, dengan 891 anggota tenteranya maut dan ribuan lagi cedera parah.
Perang yang berlarutan hampir dua tahun bukan sahaja menghakis kekuatan ketenteraan, malah menimbulkan kegelisahan politik dalaman apabila pemimpin pembangkang dan sebahagian rakyat mempertikai keupayaan Pasukan Pertahanan Isreal (IDF) meneruskan operasi di Gaza.
Operasi darat di Gaza merangkumi serangan hendap, perang terowong dan letupan jalanan menambah risiko kematian, manakala cabaran logistik serta tekanan psikologi terhadap anggota tentera dilaporkan semakin meruncing, dengan ramai dilaporkan mengalami trauma akibat pertempuran tanpa henti.
Sementara itu, serangan berterusan ke atas Gaza mencetus kecaman meluas pada peringkat antarabangsa apabila imej kemusnahan dan korban awam tersebar luas.
Ia memaksa sekutu rapat seperti Amerika Syarikat (AS) dan negara Eropah menilai semula dasar sokongan mereka terhadap Tel Aviv yang dilihat gagal menamatkan konflik secara diplomatik.
Negara-negara Barat yang sebelum ini berhati-hati kini mula mengambil langkah berani dengan mengiktiraf Palestin sebagai negara berdaulat, satu tindakan yang menandakan perubahan besar dalam landskap diplomasi dunia serta memberi tekanan moral yang lebih mendalam kepada kerajaan Israel.
United Kingdom (UK), Kanada dan Australia telah mengumumkan pengiktirafan rasmi terhadap Palestin, diikuti Portugal, Perancis dan Malta yang menyertai langkah sama.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan 147 negara anggota PBB kini mengiktiraf Palestin, sekali gus memperkukuh kedudukan Palestin di arena antarabangsa.
Gelombang pengiktirafan itu dilihat sebagai tamparan diplomatik yang memalukan Tel Aviv kerana ia datang daripada negara yang selama ini dianggap rakan strategik dan sekutu penting dalam pelbagai bidang kerjasama ketenteraan serta ekonomi.
Di Eropah, protes besar-besaran terus meletus di bandar utama seperti London, Paris dan Berlin dengan ratusan ribu peserta menuntut gencatan senjata segera dan sekatan terhadap Israel, menggambarkan kemarahan rakyat dunia terhadap kekejaman perang yang berlarutan tanpa henti.
Dalam negara pula, sokongan terhadap Perdana Menteri Benjamin Netanyahu semakin goyah apabila protes rakyat dan kritikan pembangkang kian lantang, dengan ramai mendesak agar kerajaan mencari jalan penyelesaian diplomatik sebelum keadaan lebih parah.
Sekutu rapat Israel seperti Amerika Syarikat (AS) turut berdepan tekanan dalaman daripada rakyat mereka sendiri yang mendesak Washington mengenakan syarat lebih ketat terhadap bantuan ketenteraan yang disalurkan ke Tel Aviv.
Keadaan ini menimbulkan dilema besar kepada kerajaan Israel yang bergantung kepada sokongan luar untuk meneruskan operasi, namun dalam masa yang sama terpaksa berdepan penentangan global yang semakin menular.
Pengiktirafan Palestin oleh negara-negara utama Barat sekali gus memberi harapan baharu kepada rakyat Palestin untuk memperkukuh kedudukan mereka di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan forum antarabangsa lain.
Jika tiada gencatan senjata dan rundingan damai yang konkrit, pemerhati antarabangsa menjangka kedudukan Israel akan terus merosot, manakala pengiktirafan Palestin oleh lebih banyak negara dijangka bertambah dalam bulan mendatang. – AGENSI
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001