EAST RUTHERFORD, Amerika Syarikat: Palmeiras mencatat kemenangan pertama dalam Kumpulan A Piala Dunia Kelab selepas menewaskan Al-Ahly 2-0 awal pagi tadi di New Jersey.
Perlawanan dihentikan pada minit ke-63 susulan amaran cuaca, apabila pemain dan penyokong di Stadium MetLife diarahkan untuk “berlindung” disebabkan ribut yang berdekatan.
Ketika itu, Palmeiras sedang mendahului 2-0 – hasil jaringan sendiri Wessam Abou Ali pada minit ke-49, sebelum Flaco Lopez menggandakan kelebihan kelab Brazil itu 10 minit kemudian.
Ia adalah perlawanan ketiga pada kejohanan ini terjejas akibat cuaca buruk.
Pada Selasa, perlawanan antara Mamelodi Sundowns dan Ulsan HD turut ditangguhkan sebelum sepak mula selama lebih sejam akibat amaran cuaca.
Kemudian pagi semalam, perlawanan RB Salzburg menentang Pachuca juga tergendala selama 97 minit pada separuh masa kedua kerana ribut.
Palmeiras, dibarisi pemain muda berbakat Estevao Willian – yang dijangka menyertai Chelsea – mempamerkan aksi cemerlang tetapi diikat oleh Porto pada aksi pembukaan mereka.
Al-Ahly berjaya bertahan sepanjang separuh masa pertama yang sengit, bila mana pengadil dari England, Anthony Taylor, pada awalnya melayangkan kad merah kepada pemain tengah Palmeiras, Raphael Veiga kerana kekasaran ke atas Ahmed Zizo, namun keputusan itu ditarik balik selepas semakan VAR.
Penyerang Palestin, Abou Ali secara tidak sengaja menanduk masuk sepakan percuma Anibal Moreno ke gawang sendiri untuk menghadiahkan gol pendahuluan kepada Palmeiras.
Lopez kemudian menyudahkan peluang dengan tenang untuk menjaringkan gol kedua Palmeiras selepas menerima hantaran daripada Mauricio. – AFP
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001