Ibu maut, anak cedera motosikal langgar pintu kereta dibuka tiba-tiba

KUALA LUMPUR – Wanita maut manakala anak lelakinya cedera selepas motosikal mereka dipercayai terlanggar pintu kereta yang berhenti di bahu jalan dekat persimpangan lampu isyarat Batu 5 Jalan Ipoh di sini, semalam.

Mangsa berusia 55 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata pihaknya menerima laporan kemalangan membabitkan tiga kenderaan jam 1.45 tengah hari.

“Siasatan awal mendapati nahas jam 12.20 tengah hari semasa penunggang motosikal iaitu lelaki berusia 20 tahun bersama ibunya yang juga pembonceng dalam perjalanan dari arah Jalan Ipoh menghala Bulatan Kepong.

“Semasa tiba di lokasi, pemandu kereta Toyota Vios iaitu lelaki berusia 35 tahun yang parkir di kiri jalan secara tiba-tiba membuka pintu kereta menyebabkan penunggang tidak sempat mengelak dan terlanggar bahagian pintu kereta berkenaan.

“Akibat pelanggaran itu, penunggang terjatuh ke jalan manakala pembonceng terjatuh ke bawah sebuah lori yang sedang bergerak di lorong kanan,” katanya dalam kenyataan.

Kedua-dua mangsa yang cedera dikejarkan ke HKL namun pembonceng disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan manakala penunggang cedera ringan di kaki dan tangan.

Mohd Zamzuri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *