Kegagalan Kerajaan Madani: Beban Rakyat Makin Berat – Putra

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) melahirkan rasa bimbang yang serius dengan hala tuju ekonomi dan pentadbiran kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini kerana, dakwa Ketua Penerangannya, Shahrulufti Sharif, beban rakyat semakin meningkat dan langkah diambil kerajaan gagal memberikan penyelesaian menyeluruh kepada permasalahan dihadapi masyarakat.

Beliau menjelaskan, ketidakcekapan pengurusan ekonomi kerajaan hanya bergantung kepada cukai semata-mata sebagai sumber pendapatan utama, tanpa menyediakan strategi kukuh bagi merangsang pertumbuhan ekonomi yang mampan.

“Peningkatan kos sara hidup menyebabkan rakyat semakin terhimpit dengan kenaikan mendadak harga barangan keperluan asas dan perkhidmatan. Ini menunjukkan kegagalan kerajaan dalam mengawal inflasi serta menstabilkan harga pasaran.

“Begitu juga kegagalan kerajaan dalam pelaksanaan cukai. Nampak jelas ketakutan membelenggu kerajaan terhadap DAP apabila ragu-ragu untuk melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“Kerajaan bimbang akan reaksi politik daripada sekutu tertentu kerana cukai GST tidak akan dapat dimanipulasi dan dielakkan oleh semua peniaga serta usahawan,” katanya.

Selain itu, kata Shahrulufti, ketidakseimbangan sistem cukai iaitu GST dikenakan kepada semua peniaga dan usahawan, berbeza Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang lebih mudah dimanipulasi serta memberi kesan kepada ketidakadilan dalam pengumpulan hasil negara.

Katanya, kerajaan Madani juga gagal memastikan ketelusan pengurusan kewangan negara dan isu pembaziran perlu ditangani segera menyebabkan kurangnya ketelusan serta akauntabiliti.

“Respons kerajaan terhadap aduan dan kritikan rakyat sangat mengecewakan, menunjukkan kelemahan mekanisme akauntabiliti yang sepatutnya melindungi kepentingan rakyat.

“Justeru, Putra mendesak kerajaan Madani mengambil langkah tegas demi kesejahteraan rakyat seperti semakan semula Dasar Ekonomi dengan memperkenalkan dasar yang lebih progresif dalam merangsang pertumbuhan ekonomi dan mengurangkan beban rakyat.

“Meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti dengan memastikan pengurusan dana awam dilakukan secara telus serta bertanggungjawab dan mendengar suara rakyat.

“Kerajaan harus lebih responsif terhadap aduan rakyat dan mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani permasalahan ekonomi dan sosial,” katanya.

Kata beliau, Putra akan terus berjuang untuk memastikan suara rakyat didengari dan hak mereka dipertahankan. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *