Indonesia bakal mula pembinaan ‘Tembok Laut Gergasi’ bernilai RM337.68 bilion

JAKARTA – Indonesia akan memulakan pembinaan projek Tembok Laut Gergasi bernilai AS$80 bilion (RM337.68 bilion) yang telah lama tertangguh di sepanjang pantai utara Pulau Jawa, kata Presiden Prabowo Subianto.

Ia adalah projek infrastruktur berskala besar bertujuan melindungi komuniti pesisir pantai daripada kenaikan paras laut dan banjir air pasang besar.

Berucap pada Persidangan Infrastruktur Antarabangsa 2025, semalam, Prabowo memaklumkan bahawa projek itu – kali pertama dicadangkan pada 1995 dan tertangguh selama beberapa dekad – kini akan diteruskan dengan keutamaan baharu.

Projek berkenaan akan meliputi kawasan sepanjang kira-kira 500 kilometer dari Banten di barat hingga ke Gresik di Jawa Timur.

“Keutamaan pertama ialah Teluk Jakarta dengan anggaran kos pembinaan antara AS$8 bilion hingga AS$10 bilion.

“Ini akan disusuli kerja-kerja di kawasan Semarang, Pekalongan dan Brebes yang sangat terdedah kepada banjir air pasang besar,” katanya.

Beliau berkata, fasa awal akan dibiayai bersama oleh kerajaan pusat dan kerajaan wilayah Jakarta di mana masing-masing menyumbang 50 peratus, dengan peruntukan sekitar AS$1 bilion setahun sepanjang lapan tahun akan datang bagi membiayai pembinaan peringkat permulaan.

Walaupun terbuka kepada kerjasama antarabangsa termasuk dengan China, Jepun, Korea Selatan, Eropah serta Asia Barat, Kerajaan Indonesia akan mengutamakan penggunaan kepakaran dan sumber dalam negara.

Sebuah pasukan petugas khas akan ditubuhkan bagi mempromosikan projek itu, manakala sebuah badan pentadbiran baharu akan diwujudkan untuk menyelia pelaksanaannya.

“Tembok Laut Gergasi ini bukan sekadar penghalang fizikal, tetapi langkah strategik untuk melindungi nyawa dan mata pencarian penduduk pesisir pantai.

“Kami tidak boleh bertangguh lagi. Projek ini mesti dimulakan sekarang tanpa mengira siapa yang akan menyudahkannya,” tegas Prabowo.

Tembok laut itu adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang bagi menangani isu banjir air pasang besar dan pemendapan tanah di sepanjang pantai utara Pulau Jawa, yang menurut pegawai kerajaan telah menyebabkan kerugian ekonomi yang serius.

Tahun lalu, Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Airlangga, Hartarto, berkata banjir tahunan di kawasan pesisir Jakarta menyebabkan kerugian ekonomi langsung sekitar 2.1 trilion rupiah (kira-kira AS$130 juta).

Malah, katanya, angka itu dijangka meningkat kepada 10 trilion rupiah setahun dalam dekad seterusnya jika tiada campur tangan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *