AYER KEROH – Guru wanita yang maut selepas dipercayai dibunuh anak kandungnya yang berusia 17 tahun dalam kejadian di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai, di sini, awal pagi tadi kerap bergaduh dengan remaja itu sejak kematian suami Januari lalu.
Menurut seorang jiran yang enggan dikenali, dia kerap terdengar anak beranak itu bergaduh dan kali terakhir adalah pada malam tadi.
“Memang kerap juga saya dengar mereka ini bergaduh dan bukan setakat pergaduhan mulut, malah seperti bunyi baling barang.
“Saya tahu mangsa ini memang amat pentingkan pelajaran pada anak-anaknya, tetapi saya tidak sangka perkara itu berakhir dengan tragedi pilu macam ini,” katanya ketika ditemui di lokasi.
Terdahulu, dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, guru wanita berusia 51 tahun bersama anak lelaki sulungnya iaitu pelajar kolej berusia 21 tahun maut selepas disyaki ditikam anak keduanya yang berusia 17 tahun.
Kejadian turut menyebabkan anak bongsu lelaki berusia 13 tahun cedera parah akibat ditikam ketika cuba menyelamatkan kedua-dua mangsa.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar dilaporkan berkata, suspek dipercayai menikam ibunya beberapa kali di leher, pinggang dan belakang badan menggunakan pisau lipat berukuran kira-kira 20 sentimeter.
Siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai akibat tekanan perasaan dan dendam dialami suspek kerana sering kali dipaksa belajar untuk mendapatkan keputusan cemerlang.
“Mungkin ibunya seorang guru dan dia nak anaknya dapat keputusan yang terbaik kerana suspek ini akan mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini.
“Jadi dia mungkin selalu dimarahi supaya untuk belajar lebih tekun lagi dan jiran-jiran juga maklumkan sering dengar pergaduhan di rumah itu,” ujarnya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001