KUALA LUMPUR – Proses rakaman keterangan seorang pemegang konsesi lebuh raya bergelar Tan Sri yang disiasat berhubung skandal penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang ditangguh sehingga minggu depan akibat masalah kesihatan.
Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki ketika dihubung Astro AWANI di sini pada Khamis.
Menurutnya, doktor yang merawat Tan Sri itu mengeluarkan laporan perubatan yang mengesahkan keadan beliau tidak mengizinkannya untuk meneruskan proses keterangan buat masa ini.
“SPRM akur dengan penilaian perubatan tersebut dan menghormati saranan doktor. Rakaman keterangan akan dijadualkan semula setelah beliau benar-benar pulih (minggu depan),” katanya di sini, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Azam memberitahu, pihaknya hanya sempat merekodkan keterangan kira-kira dua hingga tiga jam sebelum dinasihatkan doktor mengenai keadaan suspek.
Dalam pada itu ketika ditanya mengenai penggunaan Pasukan Taktikal SPRM atau Anti Corruption Tactical Squad (ACTS), beliau menjelaskan penggunaan pasukan itu adalah bergantung kepada keperluan pasukan penyiasat.
Dalam beberapa situasi, khususnya melibatkan lokasi yang sensitif dan berisiko tinggi, penglibatan pasukan taktikal adalah penting demi keselamatan siasatan serta pemeliharaan bahan bukti yang dirampas atau disita
“Saya serahkan kepada pasukan penyiasat sama ada untuk menggunakan ACTS atau sebaliknya, mungkin ada keperluan di mana mereka perlu menggunakan pasukan ini dalam siasatan dan penggeledahan.
“Penggeledahan.. ada tempat-tempat yang (kadang) memerlukan pasukan keselamatan bagi tujuan menjada keselamatan dari segi siasatan dan barang-barang yang mungkin dirampas atau disita,” jelasnya.
Sementara itu mengenai bilik rahsia yang menyimpan senjata di kediaman Tan Sri itu, Azam berkata, “yang bilik rahsia itu akan saya maklumkan kemudian jika perlu.”
Pada 3 Jun lalu, SPRM menyenaraikan sitaan harta berjumlah kira-kira RM143 juta yang dirampas dalam siasatan penyelewengan dana sukuk untuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang, membabitkan seorang kenamaan bergelar Tan Sri.
Pasukan siasatan SPRM juga sedang mengesan kenderaan mewah dan hartanah milik Tan Sri terbabit di dalam serta luar negara, termasuk di London dan Switzerland.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001