REGGIO EMILIA, Itali – Luciano Spalletti mengendalikan skuad Itali buat kali terakhir awal pagi tadi dan walaupun pasukannya mengakhiri perlawanan dengan kemenangan, pengendali yang dipecat itu mengakui beliau tidak meninggalkan pasukan dalam keadaan yang baik buat penggantinya dan gagal mencetus penambahbaikan yang diharapkan.
Spalletti menerima padah selepas kekalahan memalukan 3-0 di tangan Norway Jumaat lalu, yang menyaksikan kempen kelayakan Piala Dunia Itali sudah terjejas seawal perlawanan pertama.
Kemenangan hambar 2-0 ke atas Moldova di laman sendiri juga bukan penutup yang beliau harapkan.
“Saya kecewa dengan keputusan ini,” kata Spalletti pada sidang media terakhirnya.
“Saya tidak menyerahkan pasukan kebangsaan yang hebat kepada pengganti saya kerana kami juga tidak bermain dengan baik malam ini. Saya diberikan peluang untuk bekerja, saya mencuba, saya lakukan kesilapan dan saya juga cuba beberapa eksperimen.
“Saya cuba belajar dalam setiap perkara yang saya hadapi. Saya tidak pernah anggap diri saya yang paling bijak. Saya gagal untuk ketengahkan potensi terbaik daripada pemain ini dan saya harus mengakui hakikat itu”.
Spalletti mengumumkan pemecatannya sendiri sehari sebelum perlawanan menentang Moldova, menamatkan tempoh kurang dua tahun bersama skuad kebangsaan yang turut menyaksikan kempen Euro 2024 yang mengecewakan.
Walaupun beliau tidak pernah terfikir untuk meletak jawatan, beliau mengakui gagal membawa perubahan.
“Kalau anda bersetuju untuk jadi jurulatih pasukan kebangsaan seperti saya, maka anda perlu cari penyelesaian. Anda tidak boleh bersembunyi di sebalik alasan seperti kekurangan pemain dan mula mencari alibi,” kata Spalletti.
“Saya sudah lakukan tugas dengan teruk dan dalam beberapa aspek, memang wajar saya pulang ke rumah. Tetapi saya tidak meletak jawatan, kerana saya rasa saya boleh buat lebih baik. Namun, jika saya diberitahu bahawa saya bukan orang yang sesuai lagi, maka saya akan tandatangani penamatan kontrak.
“Saya tinggalkan pasukan kebangsaan ini dalam keadaan sama seperti ketika saya mula-mula mengambil alihnya.”
Setakat ini, Itali masih belum menamakan pengganti Spalletti, namun Claudio Ranieri dilaporkan sebagai calon pilihan. – REUTERS
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001