City ikat Ait-Nouri rombak skuad ke Piala Dunia Kelab

MANCHESTER, England – Manchester City melengkapkan perpindahan pemain pertahanan kiri, Rayan Ait-Nouri dari Wolves awal pagi tadi dengan yuran dilaporkan sebanyak £31 juta (RM178 juta).

Pemain antarabangsa Algeria berusia 24 tahun itu menandatangani kontrak selama lima tahun dan akan bersedia bagi aksi Piala Dunia Kelab yang bermula hujung minggu ini.

Ait-Nouri dijangka menjadi salah seorang daripada tiga pemain baharu City yang akan menyertai kejohanan itu, dengan dua lagi pemain – pemain tengah AC Milan, Tijjani Reijnders dan perancang Lyon, Rayan Cherki – dilaporkan hampir melengkapkan perpindahan ke Etihad.

Selepas gagal meraih sebarang trofi utama buat kali pertama sejak musim 2016-17, City kini dalam usaha pantas untuk bangkit semula menerusi rombakan besar-besaran skuad kendalian Pep Guardiola.

Kelab itu turut berbelanja lebih £172 juta (RM987 juta) pada jendela perpindahan Januari lalu dengan membawa masuk Omar Marmoush, Abdukodir Khusanov, Vitor Reis dan Nico Gonzalez.

City dijadual berdepan kelab Maghribi, Wydad AC dan juara Emiriah Arab Bersatu, Al Ain sebelum pertembungan besar menentang kelab gergasi Eropah, Juventus pada aksi peringkat kumpulan yang bermula pada 14 Jun.

“City adalah antara kelab terbesar di dunia dan peluang untuk bermain di sini adalah satu impian yang menjadi kenyataan,” kata Ait-Nouri dalam kenyataan kelab.

“Saya juga amat teruja untuk bekerjasama dan belajar daripada Pep (Guardiola) serta pasukan kejurulatihannya, selain dapat berlatih dan bermain bersama kumpulan pemain bertaraf dunia.”

Ait-Nouri menghabiskan lima tahun bersama Wolves, pada awalnya dipinjam dari Angers sebelum dibeli secara tetap pada 2021 dengan yuran £14.9 juta (RM85.5 juta).

Dia adalah pemain pakar pertahanan kiri pertama City sejak Benjamin Mendy, yang kali terakhir beraksi untuk kelab itu hampir empat tahun lalu.

Beberapa pemain seperti Oleksandr Zinchenko, Joao Cancelo, Nathan Ake, Josko Gvardiol dan Nico O’Reilly pernah mengisi posisi pertahanan kiri yang sering menjadi masalah buat Guardiola.

Media Perancis melaporkan Cherki semakin hampir menandatangani kontrak lima tahun, dengan Guardiola berharap perpindahan bernilai 40 juta euro (RM193 juta) itu dapat dimuktamadkan sebelum awal pagi esok, bagi membolehkan pemain berusia 21 tahun itu beraksi pada Piala Dunia Kelab. – AFP

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *