De Bruyne wira Belgium atasi kebangkitan Wales

BRUSSELS – Kevin De Bruyne muncul penyelamat Belgium dengan gol kemenangan dua minit sebelum tamat, ketika mereka mencatat kemenangan tipis 4-3 ke atas Wales pada aksi kelayakan Piala Dunia awal pagi tadi, selepas kelebihan awal mereka hampir musnah akibat kebangkitan luar jangka pasukan pelawat.

Belgium mendahului 3-0 dalam tempoh setengah jam pertama, namun Wales bangkit dengan penuh semangat untuk menyamakan kedudukan sebelum bintang utama Belgium itu memastikan tiga mata penting dalam kempen Kumpulan J bagi kelayakan ke Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.

Perlawanan itu penuh dengan kontroversi, termasuk dua sepakan penalti dan beberapa semakan VAR yang mengambil masa agak lama.

Penjaring terbanyak sepanjang zaman Belgium, Romelu Lukaku membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti pada minit ke-15, diikuti jaringan kapten Youri Tielemans pada minit ke-19 dan Jeremy Doku pada minit ke-27.

Wales merapatkan jurang menerusi sepakan penalti Harry Wilson pada masa kecederaan separuh masa pertama, sebelum menjaringkan dua gol lagi menerusi Sorba Thomas dan Brennan Johnson pada babak kedua untuk menyamakan kedudukan.

Namun, De Bruyne menghadirkan kelegaan buat tuan rumah apabila dia yang tidak dikawal menyempurnakan hantaran jauh Tielemans pada minit ke-88 untuk menjadikan kedudukan 4-3.

Impian Wales untuk mencipta keputusan dramatik musnah di hujung perlawanan, sekali gus menyaksikan mereka menghuni tangga kedua kumpulan di belakang Macedonia Utara, yang menang 1-0 ke atas Kazakhstan malam tadi.

Macedonia Utara kini mengumpul lapan mata berbanding Wales tujuh mata selepas empat perlawanan, manakala Belgium mengutip empat mata selepas dua aksi. – REUTERS

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *