Real Madrid setuju beli bintang remaja River Plate

BUENOS AIRES – Real Madrid bersetuju untuk menandatangani pemain muda River Plate, Franco Mastantuono dengan bayaran awal sekitar AS$45 juta (RM190 juta), menurut jurucakap kelab Argentina itu semalam.

Mastantuono, 17, membuat penampilan sulung bersama River pada Januari 2024 dan dianggap oleh media tempatan sebagai bakat luar biasa terbaharu yang lahir daripada bola sepak Argentina.

Pemain berbakat dengan penyudah kaki kiri itu pantas menempatkan diri dalam kesebelasan utama di bawah bimbingan jurulatih Marcelo Gallardo dan segera menjadi tonggak penting pasukan yang berpangkalan di Buenos Aires itu.

“Penjualan sudah dimuktamadkan, hanya tinggal beberapa butiran terakhir yang perlu dipersetujui,” kata sumber kelab tanpa mendedahkan maklumat lanjut mengenai perpindahan itu.

Mastantuono sebelum ini turut dikaitkan dengan beberapa kelab besar Eropah seperti Manchester United dan Paris Saint-Germain selepas menarik perhatian dengan jaringan sepakan percuma menakjubkan ketika kemenangan River Plate ke atas seteru tradisi Boca Juniors pada aksi Superclasico, April lalu.

Menurut laporan media tempatan, River Plate merancang untuk mengekalkan pemain tengah menyerang itu secara pinjaman hingga Disember bagi melengkapkan kempen Copa Libertadores mereka.

Pengurus skuad kebangsaan Argentina, Lionel Scaloni turut memanggil Mastantuono buat kali pertama bagi aksi kelayakan Piala Dunia menentang Chile dan Colombia.

Jika diturunkan, Mastantuono berpeluang muncul pemain paling muda melakukan penampilan sulung bersama skuad senior La Albiceleste. – REUTERS

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *