Oleh: Mohd. Shah Abdullah
USAI pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah sah Nurul Izzah Anwar kini diangkat sebagai Timbalan Presiden mengatasi penyandang, Rafizi Ramli.
Terdahulu dalam analisis sebelum pertandingan, penulis telah membayangkan Rafizi bakal tersadung. Bila melihat keputusan pemilihan, nyata Nurul Izzah jauh mengatasi Rafizi, manakala ada juga di kalangan pemimpin pro kem Hiruk menang seperti Datuk Seri Aminuddin Harun dan Chang Lih Kang dan beberapa yang lain.
Ramai juga yang jerlus dan tewas. Itulah adat dalam persaingan demokrasi. Yang menang harus bersyukur dan bermuhasabah atas kemenangan. Yang kalah, elok bertafakur dan mengambil iktibar atas kekalahan itu.
Jika sejati dan sebati dengan perjuangan, jangan tinggalkan gelanggang, bahawa idealisme dan prinsip jauh mengatasi kepentingan kuasa, kedudukan dan pengaruh.
Ketika Tun Musa Hitam tewas dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden UMNO dahulu, penulis mengesan satu sikap dan gaya beliau ketika menerima kekalahan. Beliau ketara dan menyerlahkan sikap “gentleman” menerima kekalahan dalam politik.
Beliau tetap duduk di atas kerusi Dewan Persidangan, terus mengikuti perbahasan dan perdebatan Persidangan Agung UMNO ketika itu.
Dalam ucapan penggulungan, Tun Musa Hitam ketika itu berkata dengan bahasa yang lunak: “Jagalah UMNO ini baik-baik.”
Tun Musa tidak meninggalkan dewan, masih mampu tersenyum dan masih bersalaman dengan Tun Dr. Mahathir, pemimpin-pemimpin serta perwakilan UMNO.
Rafizi jelas tiada ciri-ciri seorang pemimpin “gentleman”. Malah di atas pentas seolah-olah tidak mahu bersalaman dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau meninggalkan dewan dan gagal menunjukkan wajah pada hari terakhir konvensyen.
Rafizi melepaskan satu peluang untuk belajar menjadi bakal seorang Negarawan. Merajuk, terasa hati dan kecewa itu biasa dalam persaingan politik. Kadangkala kekalahan menjadikan seseorang itu bangkit dengan semangat lebih kental dan cekal. Anwar Ibrahim berkali-kali jatuh tersembam, tetapi hari ini beliau orang nombor satu negara.
Akan tetapi menjaga adab, sahsiah dan keterampilan sebagai pemimpin tetap harus diutamakan.
Kuat gendang dan peluru dihalakan ketika berkempen, tetapi sebaik tewas kita terus lari meninggalkan gelanggang. Itu bukan sejatinya panglima perang dan pahlawan keris terhunus!
Seperti kata Anwar dalam ucapan penggulungannya, jasa Rafizi bukan sedikit dalam perjuangan reformasi. Maka, Rafizi yang sinonim dengan bara api reformasi jangan mudah terkucil.
Adat perjuangan demikianlah, naik, jatuh dan pasang surut. Semua itu asam garam dan pelengkap perjuangan. Lagilah perjuangan lewat jalur politik, tuah dan celaka sama naik.
Pertandingan telah berakhir. Namun, perjuangan tetap berterusan. Bara api reformasi terus bergema. Reformasi bukan kerja singkat tetapi perlu berterusan dan istiqamah. Banyak lagi ruang dan lompang perlu dilakukan bagi mengisi cita-cita reformasi.
Setakat hari ini agenda reformasi masih jauh daripada kesempurnaan. Senarai keutamaan agenda reformasi juga belum jelas dan nyata.
Seperti ditegaskan Ketua Sekretariat Pakatan Harapan (PH), pemimpin yang baharu dipilih, khususnya Nurul Izzah harus segera bertindak. Apa yang hendak dilakukan? Apa perubahan yang hendak dibawa?
Pilihan Raya Umum Sabah menjadi medan ujian selanjutnya buat PKR. Nurul Izzah harus menunjukkan wibawa politik, seni berunding dan tawar menawar bersama gabungan PH Plus.
Kedua, Nurul Izzah harus keluar sepenuhnya daripada bayang-bayang anak Anwar Ibrahim. Meskipun itu sulit dan sukar, Nurul Izzah harus memiliki keberanian politik dan menunjukkan gengsi seorang tokoh yang mandiri. Nurul Izzah menjadi dirinya sendiri untuk dihormati kawan dan seteru politik.
Harus diingat, Nurul Izzah mewakili kuasa dan suara wanita. Ketika suara dan perwakilan wanita semakin bergema dalam semua sektor pembangunan negara, Nurul Izzah mestilah bijak menguasai psikologi kuasa wanita.
Jika ini dapat dirangka sebagai satu pelan strategik berfokus, PKR pasti akan menang lebih banyak kerusi dalam pilihanraya umum ke-16.
Maka, tumpuan pada tempoh pasca pemilihan PKR kali ini ialah seperti berikut:
* Memperkuatkan saf jemaah PKR secepat mungkin. Kurangkan hiruk pikuk dalam parti.
* Dekati rakyat dan akar umbi melalui program serta aktiviti turun ke bawah (turba).
* Perkuatkan muafakat gabungan PH dan Kerajaan Perpaduan untuk bersedia menghadapi PRU16.
* Perkasakan jentera penerangan PKR melalui media sosial, jentera penerangan dan segala aparatus parti.
* Melawan segala naratif dan propaganda parti-parti lawan dengan menampilkan naratif PKR yang bersifat inklusif, sederhana, mempertahankan Islam, Melayu dan Raja-Raja Melayu.
PKR mesti menjadi sebuah parti yang kuat, inklusif dan berfokuskan rakyat. Jadi, saf kepimpinan mesti kukuh, pengikut mesti setia dan bekerja, idealisme mesti hidup subur dibajai dan dipugar dalam suasana politik serta ekonomi yang tidak menentu. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001