Gajah jantan ‘naik minyak’, kereta remuk di Gerik

GERIK – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengesahkan kejadian gajah mengamuk hingga merosakkan kenderaan pengguna jalan raya dekat Sungai Lebey berhampiran Tugu Peringatan Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, di sini, malam tadi.

Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, aduan berhubung kejadian diterima daripada empat anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang hadir ke lokasi kejadian pada jam 8.40 malam tadi.

Memetik Harian Metro, beliau dilaporkan berkata, berdasarkan aduan itu, kejadian membabitkan enam gajah termasuk seekor daripadanya adalah gajah jantan.

“Didapati ada enam gajah, seekor darinya gajah jantan tak bergading sedang ‘naik minyak’.

“Tindakan halau dilakukan, dan mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kejadian amukan gajah itu tular di media sosial sejak malam tadi, apabila video berserta keterangan pada video itu memperlihatkan sebuah kereta sedan warna putih mengalami remuk pada bahagian but belakang serta bahagian depan kereta itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, aduan kejadian serangan gajah jam 8.15 malam tadi di KM 11 JRTB Gerik-Jeli itu, diterima pada jam 11.36 malam tadi, daripada seorang lelaki berusia 39 tahun.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian, mangsa yang memandu Toyota Vios ketika kejadian memberhentikan kenderaannya apabila mendapati sekumpulan gajah melintas di atas jalan raya, sebelum hon dibunyikan oleh kenderaan yang berada di belakang keretanya.

Beliau berkata, pemandu kereta itu bagaimanapun tidak cedera kerana sempat menyelamatkan diri apabila bertindak keluar dari kereta ke lokasi selamat.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *