Pemberontak Houthi Yaman ancam sekatan ke atas pelabuhan Israel

SANAA, Yaman – Pemberontak Houthi Yaman, memberitahu akan melaksanakan sekatan laut ke atas pelabuhan Israel sebagai tindak balas terhadap peningkatan perang di Gaza.

Jurucakap tentera Houthi, Yehya Saree berkata mereka akan mula melaksanakan sekatan laut ke atas pelabuhan Haifa.

“Semua syarikat yang mempunyai kapal di pelabuhan itu atau dalam perjalanan ke sana diberi notis bermula dari masa pengumuman ini, pelabuhan berkenaan dimasukkan ke dalam senarai sasaran,” katanya.

Langkah itu diambil `sebagai tindak balas terhadap peningkatan keganasan kejam musuh Israel terhadap rakyat kami dan di Gaza’, katanya sambil menambah serangan terhadap Israel akan dihentikan apabila pencerobohan dan sekatan di Gaza ditamatkan.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebelum ini mengumumkan negaranya akan `mengambil alih sepenuhnya’ Gaza sebagai sebahagian daripada serangan yang dipertingkat terhadap Hamas.

Houthi yang disokong Iran kerap melancarkan peluru berpandu dan dron ke arah Israel sejak perang Gaza tercetus pada Oktober 2023, susulan serangan Hamas terhadap Israel.

Mereka menghentikan serangan ketika gencatan senjata dua bulan yang berakhir pada Mac lalu.

Houthi juga mengancam menyambung semula serangan terhadap perkapalan antarabangsa akibat sekatan bantuan Israel ke atas Gaza.

Sebagai tindak balas, tentera Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan udara hampir setiap hari bermula 15 Mac lalu bagi menangkis ancaman terhadap kapal-kapal di Laut Merah dan Teluk Aden.

Walaupun gencatan senjata dipersetujui dengan AS bulan ini, Houthi tetap berikrar untuk terus mensasarkan Israel sebagai solidariti terhadap rakyat Palestin di Gaza.

Jumaat lalu, Israel mengancam mensasarkan pemimpin Houthi selepas jet pejuang Israel menyerang dua pelabuhan yang dikuasai kumpulan itu.

Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, memberi amaran kepada pemimpin Houthi bahawa jika serangan peluru berpandu diteruskan, mereka akan menerima nasib yang sama seperti pemimpin Hamas yang terbunuh di Gaza. – AFP

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *